Scammer pancing servis joki sampai RM8,000, proplayer Mobile Legends dedah jadi mangsa 'keldai akaun'


  • Massa
  • Isnin, 01 Dis 2025

Tangkap layar pendedahan Nik Aqieff tentang penipuan yang menyebabkan akaun banknya disekat.

SEORANG streamer dan pemain Mobile Legends profesional, Nik Aqieff mendakwa dirinya menjadi mangsa penipuan dalam talian baru-baru ini.

Kejadian tersebut mengakibatkan beberapa akaun banknya disekat serta dibekukan selain dilabel bank sebagai 'keldai akaun' gara-gara penipuan individu yang menggunakan dirinya bagi transaksi mencurigakan itu.

Menceritakan semula kejadian itu, Nik Aqieff yang popular dengan username @onlydominus berkata, lelaki terbabit datang kononnya sebagai peminat dan meminta khidmat joki (servis naik ranking) dalam permainan Mobile Legends.

BACA LAGI: Pelanggan bising dicaj nasi lauk RM12, peniaga di medan selera Masjid Jamek pertahan staf

BACA LAGI: Perit diuji banjir, ibu 3 anak di Sitiawan bangkit cari rezeki jual batang buruk demi sara keluarga dan rawat ayah sakit

 

 

Apa yang mencurigakan, lelaki terbabit meminta untuk membuat servis itu dengan jumlah transaksi yang terlalu besar sehingga menimbulkan rasa pelik.

“Ada suatu ketika tu, akaun aku dah kena sekat, tapi dia nak jumpa depan-depan sebab nak bagi cash lagi RM5,000,” ceritanya di akaun Threads dengan tujuan dapat memberikan kesedaran kepada orang lain.

Menurut Nik Aqieff lagi, tidak lama kemudian, lelaki itu mendakwa 'isterinya' telah membuat pemindahan sebanyak RM2,000 ke akaun mangsa.

Selepas transaksi itu masuk, akaun banknya dibekukan sehingga menyebabkan dia terpaksa membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan.

Ketika membuat laporan di balai polis, Nik Aqieff berkata, dia diberitahu bahawa pengirim RM2,000 tersebut telah membuat laporan kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).

Lebih mengejutkan, pengirim wang mendakwa kononnya mereka telah membayar sewa rumah tetapi tidak menerima kunci.

“Saya terkejut. Sejak bila saya sewakan rumah? Masa itu saya mula syak sesuatu,” jelas Nik Aqieff.

Dia kemudian menggunakan fungsi carian imej Google Lens dan mendapati gambar yang digunakan oleh 'isteri' lelaki itu sebenarnya merupakan gambar mangsa banjir yang pernah tular di Facebook.

"Dia tak puas hati sebab dia kantoi, dia nak pindahkan lagi RM8,000 dekat satu-satunya bank akaun aku yang tak kena ban. Aku dah buat repot polis sebab dia ugut.

"Dan aku pun nak selamatkan satu-satunya akaun bank yang masih boleh pakai," katanya.

Kata Nik Aqieff, selepas kisah ini dikongsi, beberapa individu lain turut menghubunginya, mendakwa mereka juga pernah berurusan dengan suspek yang sama, namun tidak berani menularkan kes itu kerana bimbang diganggu kumpulan scammer terbabit.

Dia turut memberi peringatan supaya tidak berkongsikan akaun bank dan kod QR bank kepada orang yang mencurigakan.

"Biasanya scammer ni nak minta kita transfer balik ke akaun diorang atas alasan salah transfer. Tapi sebenarnya diorang nak clean kan duit tu melalui akaun korang yang jadi mangsa.

"In a way, korang akan dicop keldai account even korang tak tahu pun korang dah kena dajal. Bank dan polis akan senarai hitam nama sebab kononnya dah tolong scammer.

"Dalam kes aku, alhamdulillah sebab aku tak transfer ke akaun lain sebab dia memang nak servis joki. Kalau kebiasaanya diorang akan target orang yang terdesak nak pakai duit," ujarnya.

Pihak berkuasa mengingatkan orang ramai supaya tidak menerima sebarang transaksi mencurigakan, tidak meminjamkan akaun bank kepada mana-mana pihak, serta segera menghubungi NSRC di talian 997 sekiranya mengesyaki penglibatan dalam aktiviti penipuan.

Insiden itu sekali lagi membuktikan taktik scammer semakin licik, termasuk memerangkap mangsa untuk dijadikan keldai akaun tanpa disedari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram