SEORANG peniaga tampil mempertahankan pekerjanya selepas seorang pelanggan didakwa memarahi staf kedai kerana tidak berpuas hati dengan caj makanan yang dikenakan.
Menerusi video di akaun TikTok @dayangrich, peniaga berkenaan berkongsi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan pelanggan tersebut mengambil makanan di bahagian lauk-pauk dalam kejadian pada Rabu (26 November).
Video itu bagaimanapun hanya tular pada Jumaat selepas dikongsikan semula beberapa halaman Facebook termasuk Rizal Hakimm Punyer.
BACA LAGI: Persis Kundasang, lembah tenusu Jemaluang produk agropelancongan terbaharu di Mersing
Menerusi perkongsian asal, peniaga yang kedainya beroperasi di sebuah medan selera dekar Jalan Masjid India, Kuala Lumpur itu memaparkan bukti rakaman untuk menjelaskan bagaimana harga ditetapkan berdasarkan kuantiti yang diambil pelanggan.
Menurutnya, pelanggan berkenaan mengambil nasi putih penuh pinggan, beberapa ketul ayam, sayur serta air minuman botol bersaiz 500 mililiter (ml).
Peniaga itu turut menyenaraikan harga yang mana nasi putih penuh dicaj RM3, ayam (empat ketul RM10 sahaja tanpa mengira kuantiti lebih yang diambil), sayur (RM2), air mineral 500ml (RM1).
Katanya, jumlah keseluruhan sepatutnya RM12, namun pelanggan berkeras mahu membayar hanya RM8.
“Bila pekerja Kak Dayang caj RM12, awak marah-marah. Awak keluar macam-macam ayat. Awak ugut nak buat aduan sebab caj mahal. Silakan buat aduan,” tulis peniaga itu.
Dia turut menambah bahawa harga telah ditampal pada dinding dan pelanggan tidak sepatutnya berkasar dengan staf.
“Memang halalkan, cuma tak suka dia bising-bising gaduh dengan staf yang kira,” katanya.
Peniaga itu turut mengingatkan bahawa pelanggan yang menambah nasi atau lauk biasanya tidak dikenakan caj tambahan, kerana kiraan dibuat berdasarkan pengambilan pertama.
Rata-rata meninggalkan komen mengatakan harga yang dikenakan kedai itu agak murah dan berbaloi.
"Kalau ambil empat ketul ayam dengan nasi serta sayur kena bayar RM12 kira murahlah tu. Kalau ayam (potong) kecil sekalipun tapi boleh kata agak murahlah juga," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
