SELAMA beberapa dekad, tamu atau pasar pagi di Gum Gum, sebuah pekan kecil di Batu 16 di Sandakan, Sabah, menjadi nadi rezeki para peniaga dan penduduk dari kampung-kampung berhampiran.
Di bawah payung dengan berbekalkan meja kayu, pasar itu berfungsi sebagai sumber kehidupan harian komuniti setempat.
Namun hari ini, kemeriahan itu semakin pudar. Sejak para peniaga dipindahkan ke struktur tamu baharu tiga tahun lalu, apa yang sepatutnya menjadi penaiktarafan bertukar menjadi cabaran.

Pasar tamu Gum Gum dikatakan hilang daya tarikan.
Ini kerana mereka berdepan masalah tempat panas, tempias hujan serta kejatuhan mendadak jumlah pengunjung.
Reka bentuk baharu itu, bagi ramai peniaga, menjadikan usaha mencari rezeki semakin sukar.
Rohani Lasang, 57, yang berniaga di situ hampir 40 tahun, menggambarkan kemerosotan itu sebagai sesuatu yang menyedihkan.
“Kalau hujan, air tetap tempias masuk. Bila cuaca panas, haba terperangkap. Bumbung terlalu tinggi, tempat ini terlalu terbuka,” katanya.
“Dulu, ratusan orang berniaga di sini. Sekarang tinggal segelintir sahaja,” katanya
Walaupun ramai peniaga telah mendaftar untuk lot di tamu baharu itu, namun kebanyakan enggan beroperasi selepas menyaksikan kurangnya pelanggan.
“Macam mana orang nak datang kalau peniaga pun sikit?” soal Rohani.
Seorang lagi peniaga, Darimah Bacho, 60, berkata, susun atur semasa tidak selesa untuk pembeli mahupun penjual.
“Kami cuma mahu mencari rezeki, tapi keadaan panas dan tempias hujan membuatkan ia susah,” katanya.
Keadaan itu didakwa diburukkan lagi dengan kemunculan pasar kecil di kawasan estet berhampiran.
Kebanyakannya dipercayai beroperasi tanpa permit yang mengakibatkan jumlah pengunjung berkurangan, selain menyebabkan tamu Gum Gum hilang daya tarikan.
“Kalau boleh baiki bumbung dan jadikan tempat ini lebih selesa sikit pun sudah cukup untuk kami bertahan,” kata Darimah.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gum Gum, Arunarnsin Taib, yang menyelia pembinaan struktur sedia ada berkata, ia sebenarnya hanya Fasa Pertama daripada pelan pembangunan lebih besar yang terhenti selepas perubahan kerajaan pada 2020.
“Reka bentuk yang mereka lihat sekarang bukan versi terakhir. Pelan lengkap termasuklah bumbung lebih baik, pengudaraan lebih lancar, zon lebih jelas dan aliran lebih teratur untuk peniaga serta pelanggan,” jelasnya.
Beliau juga merancang menjadikan tamu itu hentian persinggahan pelancongan dengan bekerjasama bersama Kementerian Pelancongan supaya pelawat singgah di Gum Gum sebelum menuju ke tarikan berhampiran.
“Saya siapkan semua perancangan pada 2019. Kalau tidak terbantut, seluruh projek sudah siap sekarang,” katanya.
Arunarnsin menegaskan pembangunan semula itu dibuat demi semua peniaga, bukan agenda politik.
“Ini bukan untuk mana-mana kumpulan. Ia untuk setiap peniaga yang bergantung pada pasar ini,” katanya.
Kini, beban pelan yang tidak kesampaian itu perlu dipikul oleh para peniaga di situ yang menanti kunjungan pelanggan yang tidak pasti. — The Star/ REBECCA CHONG
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
