'Hidup ni keras', kedai emas di Kepala Batas kongsi kisah pasangan muda gadai cincin demi beli barang bayi


  • Bisnes
  • Jumaat, 28 Nov 2025

Perkongsian Dianzgold mengenai kisah pasangan muda menjual cincin risik di Threads.

SEBUAH kedai emas di Kepala Batas, Pulau Pinang, Dianzgold baru-baru ini berkongsi kisah menyentuh hati mengenai sepasang suami isteri muda yang datang dengan bayi mereka ke premis tersebut.

Menerusi satu perkongsian di Threads, Dianzgold berkata, kedatangan mereka bukan untuk membeli emas sebaliknya bagi menjual (trade-in) cincin merisik yang dibeli sekitar dua tahun lalu.

Pasangan itu, menurut hantaran terbabit secara tidak langsung membayangkan bahawa mereka berbuat demikian kerana berdepan masalah kewangan. 

BACA LAGI: Perit diuji banjir, ibu 3 anak di Sitiawan bangkit cari rezeki jual batang buruk demi sara keluarga dan rawat ayah sakit

BACA LAGI: Pelanggan bising dicaj nasi lauk RM12, peniaga di medan selera Masjid Jamek pertahan staf

"Rupanya nak pakai duit untuk keperluan bayi kecil mereka," tulisnya.

Tidak dinafikan barangan keperluan bayi seperti susu, lampin, makanan menelan belanja yang besar tambahan lagin kos sara hidup harian semakin membebankan.

Tambah Dianzgold, pasangan itu juga sanggup menggadaikan cincin emas itu kerana enggan meminjam wang daripada keluarga atau rakan.

"Mereka malu nak pinjam jadi pilihan yang ada ialah jual cincin merisik tersebut," katanya.

Dianzgold turut berkongsikan gambar berat cincin itu yang dianggarkan sekitar 1.39 gram. 

Selepas dikira berdasarkan nilai emas semasa, jumlah tukaran ialah kira-kira RM653.30.

Kisah pasangan muda itu adalah refleksi bagaimana barang kemas yang kadang kala dianggap sebagai perhiasan atau simbol status boleh menjadi sumber kecairan aset yang penting ketika kesusahan kewangan.

Kesukaran hidup pada zaman sekarang, terutama selepas kos hidup meningkat dan keperluan asas seperti bayi dan keluarga mendesak, menjadikan emas milik peribadi sebagai penyelamat sementara.

“Hidup zaman sekarang memang keras. Namun, sekeras apa pun hidup, kita tetap perlu jalani dengan tenang," tulis Dianzgold. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram