PEMAKANAN seimbang terus diberi penekanan sebagai asas penting dalam perkembangan fizikal dan kognitif kanak-kanak, manakala seni pula menjadi medium untuk mereka menzahirkan emosi, imaginasi dan kreativiti.
Menggabungkan kedua-dua elemen itu, program Makan Bijak Bersama Ayam Brand mencipta pendekatan unik dalam mendidik murid tentang kepentingan pemakanan sihat melalui ekspresi seni.
Program tersebut hasil kerjasama Ayam Brand bersama Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, dengan penyertaan lebih 6,300 murid sekolah rendah dari 30 sekolah.
BACA LAGI: Bukan peperiksaan semata-mata, KPM tegaskan SPM tidak akan dimansuh — Fadhlina Sidek
BACA LAGI: Murid bergejala influenza dinasihatkan berehat di asrama, rumah — KPM
Ketua Pemasaran A Clouet (Malaysia) Sdn. Bhd. (Ayam Brand), Teoh Wei Ling berkata, gabungan pemakanan seimbang dan seni mampu mencetus keyakinan serta ekspresi diri yang lebih kreatif dalam kalangan murid.
"Kanak-kanak sememangnya kuat berimaginasi. Apabila pemakanan yang baik digabungkan dengan seni, kita membantu mereka memahami bahawa gaya hidup sihat bukan sekadar rutin, ia mencerminkan kreativiti, keyakinan dan ekspresi kendiri," katanya menerusi kenyataan media pada Isnin.
Tiga komponen utama diketengahkan iaitu Sesi Ceramah Pemakanan, Pertandingan Seni Individu dan Pertandingan Mural Antara Sekolah.
Selari dengan pendekatan pendidikan berasaskan pengalaman, inisiatif itu menyediakan platform untuk pelajar memahami gaya hidup sihat melalui gabungan nutrisi dan kreativiti.

SK Desa Tun Hussein Onn dinobatkan juara Pertandingan Mural Antara Sekolah dan membawa pulang RM4,000 serta trofi.
Bagi Ayam Brand pula, program itu mencerminkan komitmen berterusan jenama berkenaan dalam mempromosikan makanan sihat, semula jadi serta bebas bahan pengawet, selain menyatukan komuniti melalui nilai bersama.
Majlis penyampaian hadiah berlangsung dari 24 hingga 26 November 2025 di sekolah pemenang masing-masing, dengan kehadiran wakil Jabatan Pendidikan Negeri untuk meraikan hasil seni dan semangat berpasukan pelajar.
Ketua Penolong Pengarah Kanan, Unit Hal Ehwal Murid, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Muslim Mustafa berkata, inisiatif itu merupakan contoh terbaik pembelajaran melalui pengalaman.
"Ia menghubungkan seni dengan nutrisi dan nilai murni, serta memberi keyakinan kepada murid untuk mengekspresikan diri secara kreatif," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
