Murid bergejala influenza dinasihatkan berehat di asrama, rumah — KPM


  • Massa
  • Jumaat, 10 Okt 2025

Murid asrama yang menunjukkan simptom perlu diasingkan di bilik sakit dan ibu bapa perlu segera dihubungi untuk menjemput anak pulang atau mendapatkan rawatan di pusat kesihatan berhampiran. — Gambar Hiasan/Janaan Ai

 

 

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan pihaknya memandang serius penularan penyakit Influenza-Like Illness (ILI) yang dikesan berlaku di institusi pendidikan bawah seliaannya.

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata pelbagai langkah pencegahan dan kawalan sedang dilaksanakan bagi memastikan kesihatan serta kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga pendidikan terus terpelihara.

Katanya, antara langkah yang diambil termasuk pengedaran Surat Pemakluman Berhubung Garis Panduan Pencegahan Penularan Jangkitan ILI di Institusi Pendidikan sebagai rujukan kepada semua sekolah dan institusi berkaitan.

BACA LAGI: Daripada serabut jadi rezeki, 3 tempat boleh jual baju 'preloved'

BACA LAGI:[VIDEO] 'Hanya bayar RM100', pemandu dipercayai mabuk dakwa 'suap' polis elak ditahan

"Bagi mengekang penularan jangkitan, pihak institusi pendidikan diminta menasihatkan warga sekolah yang bergejala supaya segera mendapatkan rawatan perubatan.

"Bagi murid asrama yang menunjukkan simptom, mereka perlu diasingkan di bilik sakit dan ibu bapa atau penjaga segera dihubungi untuk menjemput anak pulang atau mendapatkan rawatan di pusat kesihatan berhampiran," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau turut menasihati murid yang bergejala supaya berehat di rumah dan mengelak daripada berada di kawasan sesak.

Selain itu, warga institusi pendidikan juga digalakkan memakai pelitup muka ketika berinteraksi dengan orang lain atau berada di tempat awam.

Kementerian berkenaan turut menekankan kepentingan meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan kebersihan diri dan persekitaran serta menyeru ibu bapa dan penjaga agar memainkan peranan dalam mencegah penularan penyakit di sekolah.

“Seluruh warga pendidikan diingatkan supaya terus menitikberatkan aspek kebersihan, kesihatan dan keselamatan dalam persekitaran sekolah,” katanya.

KPM turut memaklumkan bahawa Surat Peringatan Berhubung Garis Panduan Pencegahan Penularan Jangkitan ILI telah diedarkan kepada semua institusi pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) pada 6 Oktober lalu.

Kementerian itu juga menjelaskan pihaknya bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Kawalan Penyakit bagi memantau secara dekat perkembangan penularan ILI dan memastikan langkah pencegahan dilaksanakan dengan berkesan.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram