Persis Kundasang, lembah tenusu Jemaluang produk agropelancongan terbaharu di Mersing


  • Bisnes
  • Khamis, 27 Nov 2025

Aiman (kiri) dan isterinya, Nadia Athira merakam gambar di luar Jemaluang Diary Valley di Mersing. — THOMAS YONG/The Star

TERLETAK di Mersing, Johor, Jemaluang Dairy Valley (JDV) kini mencetuskan keterujaan dalam kalangan penduduk setempat dan industri pelancongan, yang melihatnya sebagai tarikan baharu berpotensi tinggi.

Setiausaha Persatuan Pelancongan Mersing (MTA), Ahmad Firdaus Shaik Omar, menyambut baik penubuhan JDV, sambil menyatakan bahawa ia bakal menambah dimensi pelancongan yang segar kepada pekan kecil itu.

Beliau berkata, lembah tenusu tersebut berpotensi merangsang pertumbuhan ekonomi di Jemaluang, yang terletak sebelum pintu masuk ke bandar Mersing.

BACA LAGI: 'Berkepit macam belangkas', antara peribahasa dan tarikan pelancongan eksotik di Johor

BACA LAGI: Abah dah tak ada', jurusolek kongsi detik pemergian bapa sewaktu siapkan pengantin

“JDV sudah pun mencetuskan banyak perbualan dan keterujaan, bukan sahaja dalam kalangan penduduk Mersing, tetapi juga daerah berhampiran seperti Kluang, Kota Tinggi dan Johor Bahru,” kata Ahmad Firdaus.

Beliau turut memaklumkan bahawa ramai pengguna jalan raya yang melalui Jemaluang kini berhenti untuk bergambar di pintu masuk lembah tenusu itu kerana tertarik dengan pemandangan indahnya.

Ahmad Firdaus optimis bahawa apabila JDV dibuka kepada orang ramai kelak, ia akan menarik kedatangan pelancong domestik dan antarabangsa ke Mersing.

Mersing Tourism Association (MTA) secretary Ahmad Firdaus Shaik Omar welcomed the establishment of Jemaluang Diary Valley, saying it would add a fresh tourism dimension to the small town. — THOMAS YONG/The Star

Katanya, MTA juga berhasrat bekerjasama rapat dengan pengurusan JDV untuk mempromosikan kawasan itu sebagai produk pelancongan baharu bagi daerah tersebut.

“Agropelancongan merupakan antara sektor pelancongan yang berkembang paling pesat,” katanya sambil menambah bahawa kewujudan JDV bakal meningkatkan jumlah pengunjung menjelang Tahun Melawat Johor 2026.

Terletak kira-kira 20 minit dari bandar Mersing dan lebih kurang satu jam setengah dari Johor Bahru, JDV menurutnya mempunyai kedudukan strategik untuk menarik pelawat yang melalui laluan tersebut serta menggalakkan mereka bermalam lebih lama.

Beliau berkata ketika ini, pelancongan di Mersing banyak bergantung kepada pulau-pulau indah yang terletak sepanjang kawasan pesisirnya.

Terdapat 97 pulau di sepanjang 240 kilometer garis pantai Mersing, dengan 13 pulau daripadanya dikategorikan sebagai destinasi komersial.

Antara pulau paling popular untuk aktiviti ‘island-hopping’ dan selam skuba termasuk Pulau Rawa, Pulau Aur, Pulau Pemanggil dan Pulau Besar.

Ahmad Firdaus turut menambah bahawa kebanyakan pengunjung menggunakan jeti Mersing untuk menaiki bot ke Pulau Tioman yang secara teknikalnya berada di bawah negeri Pahang.

“Pelancong biasanya menghabiskan sekurang-kurangnya tiga hari dua malam di pulau-pulau tersebut, namun di tanah besar Mersing sendiri tidak banyak yang boleh ditawarkan kepada mereka dalam tempoh itu,” katanya.

Beliau percaya JDV mampu mengubah keadaan itu dengan menyediakan tarikan baharu bagi menggalakkan pengunjung meneroka dan tinggal lebih lama di bandar tersebut.

“Promosi yang betul akan menjadi kunci untuk meletakkan JDV sebagai destinasi wajib singgah bagi pelawat yang berada di Mersing,” katanya lagi.

Kehadiran JDV turut menarik perhatian mereka yang melalui Jemaluang.

Aiman Abdul Somad, 31, seorang jurutera dari Johor Bahru, dan isterinya, Nadia Athira Sabarudin, seorang pencipta kandungan dan pengulas makanan, ternampak papan tanda JDV ketika dalam perjalanan ke Mersing.

Mereka melihat papan tanda tersebut ketika dalam perjalanan pulang selepas merakam kandungan makanan di restoran sekitar kawasan itu.

Aiman berkata, pagar putih yang tersusun sepanjang laluan masuk ke lembah tenusu itu terus menarik perhatian mereka.

Dia dan isterinya tidak mengetahui kewujudan JDV sebelum itu, namun sangat terpesona dengan pemandangannya.

“JDV nampak sangat cantik. Rasa macam berada di luar negara, bukan di Johor,” katanya.

Aiman dan isterinya berkata, mereka pasti akan melawat JDV sebaik sahaja ia dibuka kepada orang ramai. — The Star/ Mohd Farhaan Shah

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram