Harga kopi tepi jalan RM12 cetus perdebatan, peniaga tepis dakwaan cekik darah, pelanggan mahu nilai berbaloi


  • Bisnes
  • Khamis, 27 Nov 2025

Peniaga minuman kopi tepi jalan perlu bersaing dengan jenama popular yang menawarkan harga lebih rendah. — Gambar hiasan / Janaan AI

PERDEBATAN mengenai harga kopi peniaga tepi jalan dengan jenama popular dari China mencuri perhatian di media sosial selepas satu hantaran pengguna Threads, @blackyfriendly, mempersoalkan logik harga kedua-dua jualan.

Posting itu membandingkan harga minuman rangkaian kopi terkenal M**** dengan kopi Americano RM12 yang dijual peniaga kecil. 

“Kata M**** bunuh ekonomi tempatan tapi kau pula pacak khemah tepi jalan jual air Americano RM12," tulisnya.

BACA LAGI: [VIDEO] Disangka pelanggan mahu kompelin rupanya terima pujian siapkan 'big order Sukiya rice bowl'

BACA LAGI: Filem senyap bajet tak sampai RM1,000, karya anak Ipoh bawa nama Malaysia ke pentas dunia

Hantaran itu segera mencetuskan perbincangan hangat antara peniaga, pelanggan dan penggemar kopi yang masing-masing tampil mempertahankan perspektif mereka.

Seorang peniaga kopi, @silent.brewcoffee, tampil mempertahankan pemain industri mikro yang sering dikritik kerana harga dianggap ‘tidak mesra poket’.

Menurutnya, perbandingan antara peniaga kecil dan syarikat multinasional adalah tidak munasabah kerana skala perolehan bahan mentah dan kos operasi yang berbeza.

 

 

“Jenama itu beli bahan satu lori, harga jatuh murah. Kami peniaga kecil beli biji kopi daripada roastery tempatan, MOQ 5 kilogram (kg) pun sudah RM400 hingga RM500. Satu cup pakai 18 gram.

"Itu belum kira calibration yang terbuang, cup, ais, susu, syrup, tenaga dan tapak. Tapi ada juga yang expect harga sama,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa peniaga kecil bukan mengenakan harga tinggi sesuka hati.

“Peniaga kecil bukan ‘cekik darah’, kami cuma tak ada kilang belakang rumah,” ujarnya.

Namun, seorang lagi pengguna Threads, @syahcoveryou, tampil dengan pandangan berbeza, kali ini dari sudut seorang pelanggan yang menilai nilai tambah dan pengalaman yang ditawarkan peniaga.

Menurutnya, pelanggan tidak seharusnya dipersalahkan kerana membuat perbandingan harga.

“Ya bang, kami faham kau beli kopi timbang kati, bukan satu lori. Tapi kena faham, kau bersaing dengan harga, memang kalah (dengan jenama lagi satu),” tulisnya.

Dia berpendapat bahawa sebahagian peniaga kecil gagal menawarkan pembaharuan yang sepadan dengan harga dijual.

“Korang meniaga, ada ambil data pelanggan tak? Ada buat cross-selling tak? Packaging macam mana? Orang tak kenal kau siapa, kenapa mereka kena peduli modal besar atau kecil?” katanya.

Dia turut menegur aspek penjenamaan, pemasaran dan strategi pelanggan yang dianggap masih lemah.

"Orang akan expect something more. Ini tak, packaging pelekat bulat 50 sen, straw kedai mamak, data tak simpan, mengharapkan pelanggan lalu, bukan cari.

"Apa yang anda boleh buat untuk RM14 kami (sebagai pelanggan) lebih berbaloi?," katanya.

Perdebatan itu membuka ruang kepada isu lebih luas iaitu pemahaman kos operasi peniaga mikro, strategi pemasaran yang lemah serta jangkaan pelanggan yang semakin tinggi dalam pasaran minuman premium yang kompetitif. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram