SEORANG wanita yang mengusahakan perniagaan kecil menjual kek di Sungai Petani, Kedah terpaksa menutup kafenya yang beroperasi selama kira-kira tujuh bulan, selepas menanggung kerugian besar dan cabaran perniagaan yang tidak diduga.
Pemilik kafe, Shafina Razali yang dikenali melalui akaun @sgpetani_cupcake, berkongsi kisah itu di Threads sehingga mendapat reaksi netizen yang bersimpati dengan nasibnya.
Shafina memberitahu, dia membuka kafenya pada 15 Mei 2025, namun terpaksa menutup operasi pada 30 November 2025, selepas kira-kira tujuh bulan beroperasi.
Dalam perkongsiannya, dia meluahkan rasa sedih yang mendalam dan kehilangan hampir separuh jiwanya.
“Impian saya sejak menjadi pembuat kek 11 tahun lalu kini musnah. Saya habiskan simpanan hampir RM50,000 untuk kafe ini, dan kini saya kehilangan segala-galanya.
"Bukan saya tidak reda, tapi sakit setiap kali melihat barangan dibawa keluar dari kafe,” katanya dengan nada pilu.
Tulis Shafina, dia dan suaminya menguruskan semua persiapan termasuk dekorasi sendiri sepanjang sebulan sebelum pembukaan, menjadikan penutupan kafe itu meninggalkan kenangan pahit.
"Setiap kali saya tengok orang angkat keluar barang dari kafe ni, saya sedih. Sebulan kami buat semua sendiri termasuk decoration, sekarang tinggal kenangan," katanya.
Namun, perkongsian di media sosial itu mendapat sokongan moral daripada penggiat bisnes lain.
Antara yang memberi kata semangat ialah @cakejalantiung, sebuah jenama bakeri di Shah Alam, Selangor yang boleh dianggap 'otai' kerana sudah beroperasi dalam tempoh lama selain mengecapi populariti tersendiri
“Semoga ada rezeki baru tidak lama lagi. Bisnes memang sukar… tapi teruskan baking dan lakukan yang terbaik,” tulisnya di ruangan komen.
Seorang lagi pengusaha kafe, @bakewithwawa, turut berkongsi pengalaman serupa, menyatakan bahawa kegagalan bukan penamat, sebaliknya peluang untuk belajar dan bangkit semula.
“Hi dear, saya sama seperti awak. Buka (kafe) 1 Januari 2023, tutup 30 Julai 2023. Kita tidak gagal, tapi mungkin perlu belajar lebih lagi.
"Menangis sepuas-puasnya jika perlu, tapi jangan lupa bangkit semula untuk terbang lebih tinggi. Saya doakan awak dan suami terus berjaya," katanya.
Perkongsian ini menjadi inspirasi kepada ramai peniaga kecil bahawa walaupun menghadapi kegagalan, semangat untuk bangkit dan mencuba semula tetap penting dalam dunia perniagaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
