Bukan lagi menteri, Tengku Zafrul akan terus bantu PM Anwar, diberi jawatan baharu


  • Massa
  • Jumaat, 28 Nov 2025

Tengku Zafrul sebelum ini mengesahkan beliau akan menamatkan tugas di MITI pada 2 Disember ini susulan tamat tempoh pelantikannya sebagai Senator.

DATUK Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz akan terus membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meskipun tidak lagi memegang sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada bulan depan.

Tengku Zafrul sebelum ini mengesahkan bahawa beliau akan menamatkan tugas di MITI pada 2 Disember berikutan tempoh pelantikannya sebagai Senator tamat.

Jurucakap Kerajaan, Datuk Ahmad Fahmi Fadzil berkata, peranan Tengku Zafrul tetap diperlukan berdasarkan sumbangan besarnya dalam menarik pelaburan serta merintis pelbagai rundingan perdagangan dengan negara luar sepanjang memegang portfolio MITI.

BACA LAGI: Tengku Zafrul 'sapot' bekas staf MITI, belanja Menteri Ekonomi negara-negara ASEAN makan nasi lemak

BACA LAGI: Tidak setuju adakan PRK, Tengku Zafrul tekankan keputusan keluar Umno pilihan peribadi

"Beliau akan membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan dalam bentuk kedudukan mahupun jawatan yang berbeza di masa akan datang.

"Tapi apa jawatan atau kedudukan itu tidak dinyatakan, jadi kita tunggu bila tiba masanya," katanya dalam sidang media pasca mesyuarat Kabinet di Kementerian Komunikasi pada Jumaat.

Fahmi menjelaskan, mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Anwar pada hari berkenaan merupakan penyertaan terakhir Tengku Zafrul sebagai anggota jemaah menteri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Perdana Menteri telah mengucapkan terima kasih di atas khidmat bakti beliau dengan kejayaan termasuk dari segi pelaburan, perundingan perdagangan banyak yang telah berjaya," ujarnya.

Sebelum menyertai Kabinet, Tengku Zafrul memiliki lebih 22 tahun pengalaman dalam industri perbankan dan kewangan, termasuk sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Eksekutif CIMB Group Holdings Bhd, serta Presiden Pesuruhjaya PT Bank CIMB Niaga di Indonesia.

Beliau dilantik sebagai menteri melalui kapasiti Senator, dan memulakan penggal kedua sebagai anggota Dewan Negara pada Disember 2022, iaitu tempoh maksimum penggal yang dibenarkan. — The Star/TEH ATHIRA YUSOF

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram