MESYUARAT Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) ke-26 yang berlangsung pada Jumaat di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur menyaksikan hidangan nasi lemak dijamu kepada para Menteri Ekonomi negara ASEAN.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, nasi lemak itu disediakan oleh usahawan tempatan yang juga bekas staf MITI yang kini menjalankan perniagaan katering.
"Satu hari suntuk padat dengan pelbagai majlis, mesyuarat dan perbincangan. Jadi, untuk sesi pagi ini, saya belanja dan jamu semua Menteri Ekonomi ASEAN dengan nasi lemak.
BACA LAGI: Bagai bercuti di resort mewah, Johor pilihan wanita Singapura berpantang lepas bersalin
BACA LAGI: Emas dijangka alami pembetulan harga, ada yang 'panic-selling' tapi ramai pilih tambah simpanan

Nasi lemak yang disediakan katering seorang bekas kakitangan MITI.
"Ini bukan sebarang nasi lemak tau! Kita nak sokong usahawan tempatan, Saudara Ikram! Beliau bekas staf MITI yang kini menjalankan perniagaan katering. Gerenti sedap!" katanya di laman X.
Tengku Zafrul berkata, pelbagai cara boleh dibuat demi membantu menyokong perniagaan usahawan tempatan.
"Sambil meeting pun kita boleh bantu usahawan tempatan tau! Nasi lemak laku keras pagi ini, kalau ada yang nak cuba, saya boleh tolong orderkan. Jangan risau, tiada komisen!" tulisnya lagi.
Menerusi posting berasingan, Tengku Zafrul berkata, kehadiran pemimpin utama dunia seperti Presiden Amerika Syarikat dan Premier China menyaksikan perhatian komuniti antarabangsa tertumpu ke Kuala Lumpur.
Beliau berkata, Kuala Lumpur turut menjadi perhatian dunia kerana kehadiran pemimpin ASEAN dan pemimpin-pemimpin rakan dialog ASEAN.
“Malaysia akan memastikan Mesyuarat AECC dan Sidang Kemuncak ASEAN ini membuahkan hasil yang signifikan demi kemakmuran serantau,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
