MUNGKIN bagi yang tidak pernah ke Brunei atau sekadar melihat negara itu di media massa, ramai yang menganggapnya bosan tidak seperti destinasi popular lain.
Walaupun bukanlah lokasi pelancongan yang 'hype' seperti Hat Yai dan Bangkok di Thailand atau Jakarta dan Bali di Indonesia, hakikatnya, Brunei jauh berbeza daripada tanggapan itu.
Bagi seorang pengembara yang dikenali sebagai Tun Ariee atau @arieetravellah di TikTok, lawatannya ke negara kecil yang kaya dengan hasil minyak itu membuka matanya tentang sisi lain Brunei yang jarang diperkatakan.
BACA LAGI: Pakej 'book now, stay later' di The Valley Ipoh, glamping Ulu Cheka Jerantut menanti di SKCCM Penang
BACA LAGI: 'Best boleh guna beli barang basah', ramai mula mohon bantuan RM300 BINGKAS Selangor

Antara gerai makanan yang menawarkan harga berbaloi yang dikongsi Tun Ariee di Threads.
“Ramai orang cakap Brunei bosan, tapi sebenarnya banyak benda menarik yang aku jumpa waktu travel dekat sana,” katanya.
Antara perkara paling mengejutkan yang dikongsikan Tun Ariee ialah harga makanan dan minuman di Brunei.
Meskipun negara itu menggunakan mata wang dolar Brunei (BND), harga makanannya dikatakan lebih murah berbanding banyak tempat di Malaysia.
“Kalau kau rasa harga makanan dekat Brunei mahal sebab guna mata wang dolar, kau silap,” tulisnya.
Untuk makluman, 1 dolar Brunei bersamaan kira-kira RM3.28, namun harga makanan di sana tetap berpatutan.
“Contohnya, aku makan nasi katok cuma BND1.20 sahaja, bersamaan lebih kurang RM4. Kalau nasi katok kambing pula harga dia cuma BND3, tak sampai RM10 pun!,” katanya.
Malah, minuman bersaiz besar atau jumbo seperti yang terdapat di Malaysia juga jauh lebih murah.
“Air satu cawan besar cuma BND1 atau tak sampai RM4. Kalau kat Malaysia, mahu RM5 atau paling mahal dah cecah RM10 dah,” tulisnya berseloroh.
Menurutnya, walaupun selepas ditukar kepada mata wang ringgit, harga makanan di Brunei hampir sama atau lebih murah daripada kebanyakan food fest yang dianggap 'overrated' di Malaysia.
“Pilihan makanan pun banyak sampai tak tahu nak rasa yang mana dulu,” katanya lagi di Threads @arieenisme.
Selain makanan, Tun Ariee turut terpegun dengan keindahan masjid-masjid di Brunei yang menjadi mercu tanda kebanggaan negara itu.
“Dekat Brunei ini ada banyak masjid cantik yang korang boleh singgah.
"Masjid paling aku suka ialah Masjid Sultan Omar Ali Saifuddien sebab tengok dari jauh pun dah macam istana,” katanya.
Masjid yang siap dibina pada tahun 1958 itu mampu memuatkan sehingga 3,000 jemaah pada satu masa.
Di tengah-tengah kawasan masjid terdapat replika bahtera abad ke-16 yang dinamakan Mahligai, menjadikan pemandangannya sangat unik.
“Reka bentuk masjid ni diinspirasikan daripada empayar Mughal, berdiri megah dan penuh nilai seni,” jelasnya.
Tidak jauh dari situ, terletak pula Masjid Jame’ Asr Hassanil Bolkiah iaitu masjid terbesar di Brunei.
Kubahnya yang disalut emas benar-benar menyerlahkan kemewahan dan keindahan seni bina Islam di negara itu.
Bagi Tun Ariee, Brunei bukan sekadar negara kecil yang tenang, sebaliknya ia sebenarnya destinasi yang menyimpan banyak kejutan bagi mereka yang sudi meneroka dengan hati terbuka.
“Brunei mungkin nampak sunyi, tapi kalau kau pandang dengan mata yang betul, banyak benda menarik yang boleh kau hargai,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
