PULAU Pinang dinamakan sebagai pulau kedua terbaik di Asia Tenggara selepas Koh Chang di Thailand oleh National Geographic.
Majalah itu memuji negeri yang terkenal dengan jolokan Pulau Mutiara itu sebagai syurga buat pencinta makanan.
Menerusi seksyen Travel, penerbitan antarabangsa itu menggambarkan Pulau Pinang sebagai destinasi yang tiada tandingan untuk menikmati cita rasa terbaik Asia Tenggara.
“Bagi percutian kulinari di Asia Tenggara, tiada yang lebih hebat dari Pulau Pinang, yang dihubungkan dengan dua jambatan ke pantai barat Malaysia,” menurut laporan itu.
BACA LAGI: Indonesia bakal laksana redenominasi, hapus ‘000’ pada rupiah menjelang 2027

Pulau Pinang menarik kunjungan pelancong asing dan tempatan kerana keunggulan gastronominya. — The Star
National Geographic menyebut tumpuan utama ialah George Town yang diiktiraf UNESCO, bekas pelabuhan Syarikat Hindia Timur British yang pernah menarik pedagang Cina dan India.
Kedua-dua komuniti itu, katanya, meninggalkan pengaruh besar dalam masakan tempatan, dan kini pengunjung boleh menemui hidangan jalanan murah sehinggalah sajian mewah bertaraf Michelin.
Laporan tersebut turut menyorot restoran bertaraf satu bintang Michelin, Auntie Gaik Lean’s Old School Eatery, yang terkenal dengan nasi ulam berharga RM35.
Ia juga menampilkan Pasar Malam Makanan Jalanan Kimberley Street yang sibuk, di mana pengunjung boleh menikmati sup kuetiau dan duck kway chap.
Dalam senarainya, majalah itu meletakkan Koh Chang di Thailand di tempat pertama kerana keindahan pantai, diikuti Pulau Pinang di tempat kedua untuk kategori makanan.
Cat Ba di Vietnam berada di tempat ketiga bagi kategori pengembaraan, manakala Komodo di Indonesia di tempat keempat kerana hidupan liar.
Panay di Filipina menduduki tempat kelima untuk festival, Isla Verde di Filipina di tempat keenam bagi aktiviti skuba manakala Java di Indonesia di tangga ketujuh untuk keindahan kuilnya.
Don Khong di Laos pula berada di tempat kelapan bagi aktiviti berbasikal.

Nasi kandar dengan sajian antara menu menarik di Hameediyah Penang. — FLOREY D. MIKIL/The Star
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai berkata, pengiktirafan itu mengukuhkan lagi reputasi Pulau Pinang sebagai destinasi makanan bertaraf dunia yang berakar dalam warisan dan kepelbagaian budaya.
“Makanan Pulau Pinang telah lama melangkaui sekadar nikmat kulinari semata-mata.
“Ia menjadi lambang budaya dan warisan abadi yang mencerminkan memori bersama serta semangat keharmonian pelbagai kaum,” tambah beliau.
“Setiap suapan bukan sekadar rasa, tetapi turut membawa jiwa dan identiti sebenar bandar ini,” katanya lagi.
Wong turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah mengemukakan permohonan kepada Jabatan Warisan Negara untuk menyenaraikan 10 hidangan tradisional Pulau Pinang sebagai sebahagian daripada Makanan Warisan Malaysia.
Antara hidangan yang dicadangkan ialah nasi kandar, pasembur, char kuey kak, mi Hokkien, mi Jawa, oh chien (oyster omelette), mi udang, mi sotong, kerabu bihun dan roti benggali.
Beliau menambah, banyak lagi hidangan klasik Pulau Pinang telah pun diiktiraf di bawah Senarai Warisan Kebangsaan selaras dengan Akta Warisan Kebangsaan 2005, antaranya char kuey teow Pulau Pinang, asam laksa, cendol dan air batu campur (ABC). — The Star/ LO TERN CHERN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
