Dari kuih 3 sekawan hingga sambal hitam, Pekan Sehari nadi ekonomi komuniti Temerloh


  • Bisnes
  • Isnin, 27 Okt 2025

Pekan Sehari Temerloh menyediakan pelbagai hasil kebun yang menarik untuk dibeli oleh pengunjung tempatan dan masyarakat luar. — Threads Rara Farah

SETIAP Ahad, seawal pukul enam pagi, suasana di tepi Sungai Pahang berubah wajah. Lorong-lorong di Pekan Sehari Temerloh mula dipenuhi peniaga dan pengunjung yang datang dari pelbagai pelosok daerah.

Bagi ramai peniaga kecil, Pekan Sehari bukan sekadar pasar mingguan, sebalik di situlah denyut nadi ekonomi penduduk setempat berputar. Ia adalah sumber rezeki utama yang menampung kehidupan keluarga.

Ada yang menjual hasil kebun seperti sayur-sayuran segar, bunga kantan dan batang keladi, malah ada juga yang membawa hasil sungai termasuk ikan patin, baung dan tapah yang menjadi identiti Temerloh.

BACA LAGI: Peniaga Pasar Seni mengeluh jualan hambar, dakwa terjejas akibat lambakan produk dari China

BACA LAGI: Tukar lokasi pun orang masih cari paru 'crispy', nasi Padang kini taruhan pasangan suami isteri dari Kedah di Zafza Cafe Seri Kembangan

Sebahagian jualan peniaga di Pekan Sehari Temerloh. — Threads Rara Farah

Bagi pengunjung luar, keunikan itulah yang menjadikan Pekan Sehari Temerloh antara destinasi wajib singgah setiap kali ke Pahang.

Antara yang berkongsi keterujaan melawat Pekan Sehari ialah seorang pengguna Threads, Rara Farah yang mengunjungi lokasi itu ketika cuti Deepavali baru-baru ini.

"Teruja lihat sendiri kesegaran hasil tempatan, asam keping yang dijual dalam kuantiti banyak, ikan tapah segar yang bersaiz besar dan disiang depan mata.

"Dapat pula merasa makanan tradisional seperti Kuih Tiga Sekawan dan sambal hitam Pahang yang menjadi tarikan utama. Tak puas jalan, rasa nak pergi lagi. Setiap lorong ada saja benda menarik," katanya

Lebih menarik, Pekan Sehari turut mencipta rantaian ekonomi komuniti. Ramai peniaga merupakan penduduk sekitar Temerloh, manakala sebahagian lagi datang dari kampung berdekatan seperti Lanchang, Mentakab dan Kuala Krau.

Mereka bukan sahaja menjual hasil sendiri, malah menjadi pembekal kepada restoran dan pengusaha produk tempatan di daerah itu.

Aktiviti niaga mingguan ini sekaligus memacu ekonomi mikro luar bandar dan menyokong kelangsungan sektor pertanian kecil.

Dari sudut pengunjung pula, pasar itu turut memberi limpahan ekonomi kepada sektor lain seperti penginapan dan pelancongan.

Hotel Seri Malaysia, Apsara Hotel, dan Merrinton antara pilihan popular bagi pelancong yang ingin bermalam sebelum ke pasar pada pagi Ahad.

Inap desa sekitar Hospital Sultan Haji Ahmad Shah pula semakin mendapat sambutan kerana lokasinya berdekatan dengan kawasan tumpuan.

Dari segi kemudahan, kawasan sekitar Terminal Bas Temerloh dan Stadium Temerloh sering menjadi lokasi pilihan untuk parkir.

Walaupun perlu datang awal iaitu kira-kira pukul 6.30 pagi, tempat letak kereta yang strategik memberi kemudahan kepada pengunjung, termasuk pelancong warga emas.

Lebih daripada sekadar lokasi membeli-belah, Pekan Sehari Temerloh mencerminkan keutuhan hubungan sosial dan ekonomi masyarakat setempat.

Ia menjadi ruang interaksi antara peniaga dan pelanggan, tempat bertukar khabar, dan wadah meneruskan tradisi niaga turun-temurun.

Selagi semangat ini terus hidup, Pekan Sehari Temerloh akan kekal sebagai ikon ekonomi rakyat dan lambang jati diri masyarakat Pahang.