[VIDEO] Masih berduka kehilangan ayah 2 minggu lalu, wanita diduga api musnahkan rumah keluarga di Bukit Keteri


  • Tular
  • Rabu, 26 Nov 2025

Tangkap layar kejadian rumah terbakar di Bukit Keteri, Perlis musnah dalam kebakaran pada Selasa.

HANYA mampu menyebut kalimah Allahuakhbar berulang kali. 

Demikian reaksi pilu seorang wanita dikenali sebagai Norsha Lily apabila menyaksikan rumah arwah ayahnya di Bukit Keteri, Perlis musnah dijilat api dalam kebakaran pada Selasa.

Dalam video berdurasi satu minit 43 saat yang dimuat naik ke TikTok, Norsha Lily dilihat tidak mampu menahan sebak ketika merakam api marak yang memusnahkan keseluruhan struktur rumah tersebut. 

BACA LAGI: [VIDEO] Tak sengaja masuk perairan negara jiran, pemancing puji layanan baik polis Singapura

BACA LAGI: [VIDEO] Penuh tipu helah, polis Turkiye menyamar jadi penghantar makanan sebelum serbu rumah suspek

Jelas kedengaran suaranya bergetar sambil menyebut 'Allahuakhbar… Ya ALLAH, Ya ALLAH..' setiap kali melihat api menyambar kediamannya keluarganya itu semakin kuat.

Lebih menyayat hati, insiden berkenaan berlaku hanya dua minggu selepas pemergian ayahnya, yang juga pemilik rumah tersebut.

"Ayah pergi dua minggu tinggalkan kami, rumah ayah pula terbakar… ALLAH… beratnya ujian-Mu," luah Norsha Lily dalam kapsyen video berkenaan, yang mengundang rasa simpati warganet. 

Menjengah ruangan komen video tersebut, ramai pengguna TikTok tampil memberikan kata-kata semangat dan mendoakan kekuatan buat wanita berkenaan dan keluarganya. 

Menurut maklumat yang dikongsikan laman Facebook, Bomba Chanel memaklumkan bahawa sebanyak lima jentera bomba dikerahkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan. 

"Sebuah rumah di Bukit Keteri terbakar. Dimaklumkan, rumah tersebut tiada penghuni sejak beberapa minggu kerana pemilik rumah telah meninggal dunia. 

"Mungkin berlaku litar pintas punca kebakaran. Pihak bomba sedang dalam perjalanan memadam kebakaran," kata laman tersebut pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, seorang individu dipercayai adik-beradik kepada Norsha Lily, Natt Nordin turut berkongsi rasa syukur dan penghargaan kepada pasukan penyelamat yang bertungkus-lumus memadam kebakaran.

“Terima kasih kepada semua anggota bomba dan anggota tentera yang terawal hadir bagi bantuan untuk kami sekeluarga. Alhamdulillah, tiada kemalangan jiwa, kami semua selamat, syukur. 

"Rumah arwah ayah Natt yang baru pergi tinggalkan kami sekeluarga 10 hari lalu. Hari ini (Selasa) ALLAH hantar lagi ujian buat kami. Syukur alhamdulillah.

"Terima kasih semua yang terlibat membantu memadam api kebakaran. Moga ALLAH membalas dengan berjuta kebaikan buat kalian semua. Amin ya ALLAH. Natt berterima kasih bagi pihak keluarga untuk semua," tulisnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram