PENGENDALI operasi kereta api di India, Central Railway mahu mengambil tindakan ke atas seorang penumpang wanita yang memasak mi segera menggunakan cerek elektrik ketika menaiki pengangkutan awam itu.
Isu tersebut tular sejak Jumaat lalu di media sosial selepas sebuah video dimuat naik memaparkan wanita dipercayai berasal dari Maharashtrian berkenaan berbuat demikian.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan laluan pengangkutan awam itu kerana rata-rata kereta api di India menyediakan soket elektrik kepada penumpang bagi penggunaan barangan bervoltan rendah.
BACA LAGI: [VIDEO] Juruterbang terkorban pesawat buatan India terhempas ketika pertunjukan udara di Dubai
Perkara terbabit menerima perhatian Central Railways yang menyedari keprihatinan pengguna lain yang menyedari risiko menggunakan peralatan elektrik itu di dalam gerabak kereta api.
"Tindakan sedang diambil ke atas individu terlibat. Menggunakan cerek elektrik di dalam kereta api adalah dihalang sepenuhnya. Ia mengundang bahaya, dilarang dan boleh dikenakan tindakan.
"Ini kerana penggunaannya boleh menyebabkan kebakaran yang akan membahayakan penumpang lain. Ia juga boleh mengganggu bekalan elektrik kepada pendingin hawa dan perkakas elektronik lain dalam kereta api," tulis Central Railways di X.
Pihak pengendali pengangkutan awam itu turut mengingatkan orang ramai supaya melaporkan kes sedemikian sekiranya berulang untuk mengelak sikap begitu berulang.
Berdasarkan perkembangan, identiti wanita dalam video tersebut sudah dikenal pasti dengan pihak Central Railways sedang dalam usaha mengambil tindakan selanjutnya.
Sekiranya didakwa, individu terbabit boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 147(1) Akta Kereta Api di India yang membawa hukuman penjara enam bulan atau denda sehingga 1,000 rupee (RM47) atau kedua-duanya.
Tindakan wanita berkenaan turut mengundang kecaman daripada orang ramai yang menyedari risiko akan penggunaan cerek elektrik seperti itu di dalam kereta api. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
