Diplomasi durian dua negara, raja buah pengukuh jambatan dagang Malaysia–China


  • Bisnes
  • Selasa, 28 Okt 2025

Seorang jurujual menimbang durian di pusat operasi pengedar buah-buahan di Guangzhou, wilayah Guangdong, selatan China. — Gambar hiasan/ Agensi

SEBUT sahaja durian, pasti ramai yang teringat isinya yang kuning keemasan dan aromanya yang kuat hingga kurang digemari sesetengah orang.

Buah berduri tajam ini sebenarnya mempunyai kaitan sejarah yang panjang dengan hubungan antara China dan Asia Tenggara.

Pada abad ke-15, pelayar terkenal China, Laksamana Zheng He, dalam pelayaran ke wilayah Nanyang, iaitu kawasan beriklim panas dan subur di selatan China dan sekitarnya, pernah menemui sejenis buah misteri yang digelar 'du’er yan'.

BACA LAGI: Dari kuih 3 sekawan hingga sambal hitam, Pekan Sehari nadi ekonomi komuniti Temerloh

BACA LAGI: Peniaga Pasar Seni mengeluh jualan hambar, dakwa terjejas akibat lambakan produk dari China

Malaysia mula mengeksport produk durian sejuk beku ke China pada tahun 2011. — Gambar hiasan

Beliau menggambarkannya sebagai buah berbau kuat tetapi mempunyai isi yang manis dan lazat.

Meskipun ramai pada awalnya tidak tahan dengan aromanya yang menusuk hidung, namun rasanya memikat hingga mereka jatuh cinta kepada 'raja segala buah' ini.

Kini, China muncul sebagai negara konsumer durian terbesar di dunia, dengan Malaysia memainkan peranan penting dalam memenuhi permintaan yang semakin meningkat itu.

Pada tahun 2024, import durian China mencatat rekod baharu sebanyak 1.56 juta metrik tan, bernilai hampir AS$7 bilion, menurut data kastam negara itu.

Dengan menguasai kira-kira 95 peratus pasaran durian global, China kini menjadi pemacu utama pertumbuhan pesat industri durian di Asia Tenggara, menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO).

Bagi Malaysia, durian bukan sekadar simbol kulinari bahkan ia kini menjadi kuasa ekonomi baharu luar bandar.

Dengan kawasan tanaman durian mencecah 90,000 hektar, menghasilkan antara 500,000 hingga 550,000 tan setahun, industri itu kini menjadi pemacu penting kepada ekonomi desa negara.

Pembukaan pasaran besar China turut mempercepatkan pertumbuhan tersebut.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, eksport durian Malaysia meningkat pesat, terutamanya selepas wujudnya laluan penghantaran udara baharu yang membolehkan durian segar sampai ke pasaran China dalam tempoh hanya 36 jam.

Malaysia mula mengeksport produk durian sejuk beku ke China pada tahun 2011, diikuti oleh durian sejuk beku keseluruhan pada 2019. 

Namun, kaedah tradisional tuaian di mana buah gugur secara semula jadi apabila ranum di samping kekurangan kemudahan pembekuan telah mengehadkan kapasiti eksport negara.

Perubahan besar berlaku pada Jun 2024, apabila Malaysia dan China menandatangani protokol fitosanitari baharu yang membenarkan durian segar Malaysia dieksport terus ke China.

Durian yang dituai pada tahap kematangan penuh memberikan rasa terbaik dalam tempoh dua hingga tiga hari. — Gambar hiasan

Perjanjian itu yang bertepatan dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China, menjadi suntikan semangat baharu kepada industri durian negara.

Bagi rakyat Malaysia, penanaman durian bukan sahaja sumber kebanggaan, tetapi juga punca rezeki utama komuniti luar bandar.

Dengan semakin ramai pengguna di China menikmati buah tropika itu, industri durian Malaysia kini berada di landasan kukuh untuk mencapai tahap baharu, sambil memberi limpahan manfaat kepada petani, pengusaha dan sektor hiliran.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Pembangunan Industri Durian Antarabangsa Malaysia (MIDIDA), Edwyn Chiang, kemasukan durian segar ke China membolehkan pengguna menikmati durian Malaysia dalam tempoh 36 jam selepas dituai.

Ia merupakan satu pencapaian logistik yang mengagumkan hasil laluan udara baharu itu.

Chiang menambah, durian yang dituai pada tahap kematangan penuh memberikan rasa terbaik dalam tempoh dua hingga tiga hari, menjadikan Malaysia mempunyai kelebihan dari segi kualiti.

Beliau turut berkongsi bahawa antara tahun 2017 hingga 2023, lebih 70 peratus eksport durian Malaysia ke luar negara dihantar ke China.

“Kemasukan durian segar bukan sahaja meningkatkan nilai eksport, malah turut merancakkan pembangunan sektor pemprosesan, pembungkusan dan logistik tempatan,” katanya lagi.

Pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) turut memudahkan urusan perdagangan rentas sempadan. 

"Bagi produk mudah rosak seperti durian, pelepasan kastam yang pantas bermakna kualiti lebih baik dan nilai lebih tinggi, jelas Chiang.

Durian bukan lagi sekadar buah bermusim, sebaliknya ia kini simbol hubungan erat Malaysia-China dan nadi ekonomi baharu yang membuka peluang besar kepada petani serta usahawan tempatan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram