Dihalau keluar hotel ketika banjir Hat Yai, netizen berdebat isu empati dan degil amaran cuaca


  • Massa
  • Ahad, 23 Nov 2025

Keadaan banjir teruk di Hat Yai menyebabkan kenderaan salah seorang pelancong Malaysia di sana dinaiki air. — Threads/ Nurhidayah Mazlan

MEDIA melaporkan sekurang-kurangnya 42 rakyat Malaysia termasuk kanak-kanak yang terperangkap akibat banjir besar di Hat Yai diarah keluar oleh pengurusan hotel penginapan mereka pada Ahad.

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi dilaporkan berkata, pihaknya telah dimaklumkan mengenai kejadian itu.

“Kami dimaklumkan mengenai perkara itu oleh pihak tertentu. Perkara berkenaan sepatutnya tidak berlaku dalam keadaan banjir besar sekarang," katanya.

BACA LAGI: Pesanan batal bertukar rezeki, peniaga hotdog di TTDI kongsi pengalaman 'deal order' sampai jadi

BACA LAGI: 'Kenapa tak 'order' lori sejuk beku?', pemandu terkejut dapat 'job' kena hantar 80 ekor ayam guna kereta

Situasi ini mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen dengan ada yang berasakan tindakan itu tidak wajar kerana soal empati, namun tak kurang yang bersetuju berikutan amaran awal sudah dikeluarkan.

"Ini bukan isu empati. Kerajaan Thailand dah bagi amaran awal tapi korang tetap gigih nak fly pergi bercuti," komen Hanis Mohamad di Threads.

Ia turut dipersetujui Lishalinee Pinkygirl yang mengatakan bahawa notis amaran sudah dikeluarkan sejak minggu lepas dengan larangan melancong ke tempat-tempat yang dikhuatiri banjir.

"Rakyat kita ni beriya-iya bawa masuk kenderaan masing-masing, kalau tiada flood perils (insurans), habis kena tanggung semua kerosakan kereta sendiri. Kos membaik pulih bukan murah," katanya.

Menerusi komen Hanis lagi, dia berkata banjir itu sekali lagi mengingatkan bahawa amaran cuaca bukan sekadar notis biasa sebaliknya dikeluarkan untuk mengelakkan situasi seperti ini.

"Risiko korang yang pilih tapi bila masalah timbul, semua nak minta 'bantuan kecemasan', mana logiknya?. Yang degil tetap pergi tapi kerajaan pula kena tanggung," katanya.

Sementara itu, lokaltalk turut berkongsi amaran yang telah dikeluarkan Kerajaan Thailand mengenai risiko banjir di Selatan negara itu.

Namun katanya, ramai rakyat Malaysia tetap memilih untuk bercuti ke Hat Yai dalam tempoh tersebut.

"Apabila bencana berlaku, kerajaan Malaysia pula diminta menyediakan bantuan kecemasan. Situasi ini menimbulkan persoalan mengenai tanggungjawab risiko," ujarnya.

Seorang pelancong Malaysia yang terkandas, Nurhidayah Mazlan, meminta orang ramai tidak menyalahkan keadaan sebaliknya memberikan bantuan dengan membantu mereka keluar dari kawasan bencana.

"Saya datang dalam keadaan selamat, tak hujan tak banjir. Sampai Hat Yai baru ada hujan renyai-renyai.

"Dalam tempoh satu malam, banjir naik sampai ke kereta. Sekarang tolong jangan salahkan kami tapi bantu sebarkan berita ini agar kami dapat keluar dari kawasan banjir," katanya sambil memberitahu dia berada di Hotel Hat Yai di kawasan Kim Yong.

Dalam perkembangan berkaitan, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla memaklumkan semua rakyat Malaysia yang terkandas di hotel-hotel di Hat Yai diminta bersedia di lobi hotel masing-masing bagi persediaan operasi pemindahan sementara ke tempat selamat oleh pihak berkuasa tempatan.

"Koordinasi antara Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla dengan pihak berkuasa tempatan di Hat Yai telah bermula dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

"Kerjasama dan perhatian tuan dan puan dalam perkara ini amatlah dihargai bagi memastikan urusan pemindahan berjalan dengan lancar," kata kenyataan itu,

Sekiranya terdapat pertanyaan lanjut,  mereka dinasihatkan supaya berhubung dengan Pegawai Bertugas di pejabat Konsulat Jeneral di talian +66819901930. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram