MANGSA banjir yang berdaftar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akan menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebaik sahaja pulang ke rumah, kata Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Meor Ismail Meor Akim, lapor Buletin TV3.
Beliau berkata, bantuan berjumlah RM1,000 itu akan disalurkan terus ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) dan tidak diberikan secara tunai.
Justeru, setiap mangsa yang mendaftar di PPS perlu mempunyai akaun BSN bagi memudahkan proses pembayaran.
BACA LAGI: 'Jangan teruja main air', lelaki beri amaran bahaya makhluk berbisa waktu banjir
BACA LAGI: Tragedi 2 sahabat lepas makan roti canai isyarat jelas perlunya perketat had laju kawasan kampung

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara, Meor Ismail Meor Akim.
“Apabila mangsa pulang ke rumah, mereka akan menerima BWI melalui akaun BSN. Jika tiada akaun, mereka perlu ke kaunter untuk membukanya.
"Bantuan tersebut bertujuan membantu membeli keperluan asas selepas kembali ke rumah,” katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geting, Tumpat, Kelantan pada Selasa.
Menurutnya, setiap keluarga layak menerima RM1,000 dengan syarat mereka telah berdaftar di PPS.
“Kita mohon semua mangsa membuat pendaftaran. Daftar dan kemudian pulang ke rumah pun boleh kerana ada yang perlu menjaga rumah atau keluar bekerja.
"Namun, bagi mangsa yang terdiri daripada kanak-kanak, warga emas atau OKU, kita nasihatkan supaya kekal berada di PPS,” tambahnya.
Mengulas kesiapsiagaan menghadapi banjir, Meor Ismail memaklumkan keadaan aset dan kekuatan pasukan penyelamat masih mencukupi dengan seramai 103,500 anggota daripada pelbagai agensi kini bersiap siaga termasuk yang sudah berada di lapangan.
“Kita turut mempunyai Skuad Insan Madani yang diketuai Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan boleh digerakkan pada bila-bila masa jika diperlukan,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
