SEORANG guru syariah di sekolah agama tempat Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir bersekolah memberitahu Mahkamah Koroner bahawa dia bertanggungjawab menapis dan melantik calon ketua dorm asrama.
Rezany Mohd Taupek, saksi ke-51 inkues kematian Zara Qairina memberi keterangan di hadapan Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Dalam kenyataan pasukan peguam, dia memaklumkan bahawa dirinya tinggal di rumah warden dan mengenali pelajar berusia 13 tahun itu sebagai murid Tingkatan Satu.
BACA LAGI: [VIDEO] Kontroversi gol minit akhir tak halang Syafiq Ahmad luang masa dengan bekas rakan di JDT
BACA LAGI: Lupakan Castillejo, Hidalgo kini pilihan terbaik tampung kehilangan Arif Aiman
Menurut kenyataan tersebut, Rezany menjelaskan bahawa calon ketua dorm dipilih berdasarkan kewibawaan dan rekod disiplin yang bersih.
“Pelajar yang mempunyai kesalahan disiplin tidak boleh dilantik sebagai ketua dorm,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa ketua dorm bertanggungjawab melaporkan sebarang aduan kecurian kepada warden dan pelajar tidak dibenarkan menjalankan siasatan sendiri.
Rezany berkata, dia pernah menerima aduan kes kecurian dan akan merujuknya kepada unit disiplin jika aduan didapati berasas.
Lazimnya, dia akan menemubual pelajar sebagai sebahagian proses siasatan awal.

Allahyarhamah Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada 16 Julai lalu.
Berhubung istilah MA (Mesyuarat Asrama), saksi berkata, dia mula mendengarnya tahun lalu sebelum pihak sekolah mengeluarkan arahan melarang aktiviti tersebut.
“Pemahaman saya, MA merujuk kepada mesyuarat atau perjumpaan antara pelajar senior dan junior mengenai peraturan asas seperti kebersihan dan kekemasan,” katanya sambil menyamakan perjumpaan itu seperti sesi usrah.
Namun, dia tidak pasti sama ada MA pernah disalahgunakan sehingga membawa kepada larangan tersebut dan mengesahkan dia tidak menyiasat sama ada calon ketua dorm terlibat dalam MA atau tidak.
Saksi turut menerangkan bahawa pelajar Tingkatan Satu ditempatkan di aras tiga kerana kemudahan di tingkat itu menampung bilangan mereka sepenuhnya.
Pada masa sama, dia menegaskan bahawa ketua dorm perlu mematuhi garis panduan ditetapkan pihak sekolah dan tidak dibenarkan membuat peraturan sendiri.
Pasukan peguam yang mewakili keluarga terdiri daripada Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James.
Allahyarhamah Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu, Sabah. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
