PINDAAN undang-undang lebih terperinci berkaitan nafkah ibu bapa dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada Mac tahun depan, sekali gus memberi ruang kepada pelaksanaan yang lebih berkesan terhadap kewajiban anak menanggung ibu bapa uzur ketika negara menuju fasa masyarakat tua menjelang 2030.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, sementara menunggu pindaan terhadap undang-undang Mahkamah Syariah dan Undang-Undang Keluarga Islam dimuktamadkan, kerajaan meneruskan usaha memperkukuh advokasi agar masyarakat memahami tuntutan syarak mengenai nafkah ibu bapa.
BACA LAGI: 'Kekayaan hakiki bukan harta, tapi saham akhirat', Norish Karman didik 8 anak cintakan ilmu agama
BACA LAGI: [VIDEO] Guna AI bantu soal jawab isu agama cetus kebimbangan ramai
"Kerajaan MADANI melalui Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sedang membuat pindaan undang-undang baharu Undang-undang Mahkamah Syariah dengan memasukkan punca kuasa jelas dan khusus berkaitan nafkah serta jagaan ibu bapa dalam undang-undang itu.
"Usaha ini bertujuan memastikan mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa menangani tuntutan membabitkan kebajikan ibu bapa yang uzur atau tidak berupaya dengan lebih berkesan," katanya.
Menurut beliau, JAKIM turut melaksanakan semakan menyeluruh terhadap Undang-Undang Keluarga Islam 1984 bagi menilai keperluan memperincikan peruntukan nafkah ibu bapa agar lebih responsif terhadap keperluan masyarakat dan realiti semasa umat Islam di negara ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH–Sri Gading) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, di Kuala Lumpur pada Selasa.
Jelas Mohd Na’im, semakan rapi sedang dijalankan untuk menentukan sama ada peruntukan undang-undang sedia ada memadai atau memerlukan penambahbaikan khusus berkaitan nafkah ibu bapa.

Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan. — Facebook
Menurut Mohd Na'im, semakan rapi sedang dilakukan bagi menentukan sama ada peruntukan sedia ada mencukupi atau memerlukan penambahbaikan khusus dalam aspek nafkah ibu bapa.
"Pada masa ini, penyediaan draf undang-undang itu sedang digerakkan secara aktif melalui proses penelitian perundangan dan membabitkan libat urus bersama pihak berkepentingan serta semakan teknikal bagi memastikan penggubalan itu benar-benar menepati keperluan masyarakat dan prinsip hukum syarak," katanya.
Mengenai mekanisme penyelarasan JAKIM, beliau berkata, ia turut membabitkan Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan (JPIK), Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Majlis Dialog Perundangan Islam Kebangsaan bagi memastikan model undang-undang Persekutuan dapat dijadikan rujukan serta diterima pakai oleh semua negeri.
JAKIM turut menyemak Undang-Undang Keluarga Islam 1984 untuk menilai keperluan memperincikan peruntukan nafkah ibu bapa. — Facebook
"Hal ehwal Islam terletak di bawah bidang kuasa negeri menurut Perlembagaan Persekutuan. Namun dalam konteks penyelarasan, JAKIM berperanan merangka satu undang-undang model yang boleh dijadikan rujukan negeri-negeri bagi memastikan keseragaman pelaksanaan di seluruh negara.
"Namun proses ini mengambil masa, maka sementara menunggu pindaan dimuktamadkan, kerajaan laksana advokasi melalui kursus pra dan pasca perkahwinan, program pendidikan keluarga serta hebahan melalui TV Al-Hijrah dan IKIM bagi meningkatkan kesedaran tentang kewajiban anak menyara ibu bapa," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
