“KEKAYAAN hakiki bukan duit, bukan harta, bukan pangkat tetapi saham akhirat yang sangat berharga selagi nyawa dikandung badan.”
Itu luahan pelakon terkenal, Norish Karman yang berkongsi sisi kehidupannya sebagai ibu tunggal membesarkan lapan orang anak dalam satu hantaran di Instagram, baru-baru ini.
Dalam hantaran tersebut, Norish memuat naik gambar lima anaknya memegang al-Quran ketika menghadiri kelas mendalami ilmu agama.
BACA LAGI: Ada yang kena penyakit kulit, hampir berpisah, Mufti Terengganu jelaskan punca dugaan 'darah manis'
BACA LAGI: Siang sempat keluar makan bersama, malam suami dijemput Ilahi, tak sempat tatap wajah anak sulung
Menurut Norish, walaupun tugas menjaga lapan cahaya mata bukan sesuatu yang mudah, namun kebahagiaan sebenar baginya bukan terletak pada kemewahan duniawi.
Katanya, anak ketiganya, Nur Hanyz Amanda Routi mengikuti kelas hafazan bersama adik-beradiknya yang lain apabila tidak terlibat dalam penggambaran drama.
Mereka mengikuti kelas hafazan al-Quran, tajwid, hadis dan tauhid di sebuah pusat tahfiz.
Menariknya, Hanyz Amanda kini mewarisi bakat lakonan ibunya apabila mula mencipta nama dalam industri hiburan.
Gadis berusia 21 tahun itu membintangi drama bersiri Takdir Cinta Terlarang dalam slot Akasia TV3 yang turut bergandingan dengan ibunya.
Norish sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Datuk Hashimuddin Abdul Kadir, namun bercerai pada 15 Julai 2008.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat anak kandung Muhammad Haqiem Amany, Muhammad Hady Amieran, Nur Hanyz Amanda dan Haq Alexander.
Selain itu, Norish turut menjaga empat anak angkat iaitu Hasbi Fadullah, Hasya Farahiya, Haziq Fadillah dan Hazra Farisya.
Pelakon yang mula berhijab sepenuhnya sejak 23 Februari 2018 itu kini dilihat lebih tenang dan mendekatkan diri kepada nilai-nilai Islam, selain aktif membimbing anak-anaknya ke arah kehidupan berasaskan ilmu dan keimanan.
Hantaran tersebut menerima pujian ramai peminat tersentuh dengan keikhlasan Norish sebagai ibu yang mengutamakan pembentukan sahsiah dan ilmu agama berbanding kejaran kemewahan dunia.
"Masya-ALLAH, satu kisah ketabahan yang sangat menginspirasikan. Menjadi ibu tunggal kepada lapan anak bukan tugas mudah namun kak Norish boleh buktikan bahasa kekuatan sebenar hadir daripada hati yang yakin kepada ALLAH," kata Azwani Abdullah.
"Ibu yang hebat," kata Norma Ibrahim.
"Patutlah muka sama, pandai Lia berlakon," kata Noorzaiti Norzali. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
