Disangka sudah meninggal, wanita terlantar 2 tahun kejutkan semua apabila ‘bangun’ di dalam keranda


  • Maya
  • Selasa, 25 Nov 2025

Seorang wanita yang disangka sudah meninggal dunia tiba-tiba bergerak di dalam kerandanya di Wat Rat Prakhong Tham, Thailand.

SUASANA tenang di sebuah kuil yang terletak di Nonthaburi, Thailand bertukar gempar apabila seorang wanita yang disangka sudah meninggal dunia tiba-tiba bergerak di dalam kerandanya sehingga mencetuskan detik mencemaskan buat petugas kuil yang sedang bersiap menerima proses kremasi.

Kejadian luar biasa itu berlaku di Wat Rat Prakhong Tham, apabila sebuah trak pikap membawa keranda putih tiba di pekarangan kuil. 

Dalam video yang dimuat naik ke laman Facebook kuil berkenaan, kelihatan tubuh seorang wanita berusia 65 tahun terbaring kaku sebelum tangannya mula bergerak perlahan dan kepalanya tersentak kecil, membuatkan petugas kuil terpinga-pinga.

BACA LAGI: Dek tegur aurat kakak ipar wanita ditampar tunang, terkilan tiada batas pergaulan keluarga bakal mentua

BACA LAGI: 'Jangan biasakan anak guna barang bukan milik kita', peringatan Farah Lee buat ibu bapa

Pengurus hal ehwal am dan kewangan kuil, Pairat Soodthoop berkata, wanita tersebut dibawa oleh abangnya dari Phitsanulok, kira-kira 500 kilometer jauhnya untuk menjalani proses kremasi.

“Ketika saya sedang berbincang mengenai prosedur dokumen, tiba-tiba kami dengar bunyi ketukan perlahan dari dalam keranda.

“Saya minta mereka buka keranda itu… dan kami semua terkejut. Dia buka mata sedikit dan mengetuk di sisi keranda. Nampaknya dia sudah mengetuk dari tadi," kata Pairat kepada The Associated Press. 

Pairat berkata, abang wanita itu memberitahu kakaknya telah terlantar sakit selama dua tahun. 

Keadaannya merosot sehingga dia tidak lagi bergerak dan kelihatan berhenti bernafas dua hari sebelumnya sehingga menyebabkan keluarga menyangka dia sudah meninggal dunia.

Lebih menyayat hati, wanita itu pernah menyatakan hasrat untuk mendermakan organ. 

Namun apabila abangnya membawa jenazah itu ke sebuah hospital di Bangkok, permintaan itu ditolak kerana tiada sijil kematian rasmi.

Tidak berputus asa, abang tersebut kemudian ke kuil berkenaan untuk menggunakan perkhidmatan kremasi percuma. 

Namun sekali lagi mereka dimaklumkan proses itu tidak boleh diteruskan tanpa pengesahan kematian.

Ketika itulah detik mengejutkan berlaku iaitu ketukan dari dalam keranda menyelamatkan nyawa wanita itu.

Selepas memeriksa keadaan wanita tersebut, petugas kuil segera menghantarnya ke hospital berhampiran bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Pairat berkata, pihak kuil telah bersetuju menanggung sepenuhnya kos rawatan wanita itu sebagai bentuk bantuan kecemasan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram