Institut terkesan banjir dibenar anjur kelas online — KPT


  • Massa
  • Isnin, 24 Nov 2025

Beberapa negeri terkesan dengan banjir akibat hujan lebat berterusan kebelakangan ini.

KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) akan membenarkan institut pendidikan tinggi (IPT) yang terkesan dengan banjir untuk mengadakan pembelajaran secara atas talian.

Dalam kenyataan dikeluarkan pada Isnin, kementerian itu berkata, bencana alam tersebut sudah melanda bandar dan kawasan kediaman.

Malah, banjir turut mengganggu operasi beberapa IPT untuk melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka.

BACA LAGI: Bukan setakat Thailand, Tok Mat nasihat tangguh percutian ke Vietnam angkara banjir

BACA LAGI: 'Kali ini jauh lebih buruk', pelajar UMK Kampus Kota redah banjir, selamatkan 'laptop', buku

KPT mengeluarkan kenyataan yang membenarkan PdP berlangsung secara dalam talian.

"KPT memantau dengan teliti perkembangan banjir yang melanda beberapa buah negeri di Pantai Timur dan Utara Semenanjung sejak beberapa hari lalu berikutan hujan lebat berterusan.

"Sebagai langkah memastikan keselamatan, kesejahteraan dan kebajikan warga IPT, KPT memberikan kelonggaran kepada semua IPT terjejas untuk melaksanakan PdP secara dalam talian," tulisnya.

Setakat ini, beberapa negeri terkesan akibat bencana alam tersebut, termasuk Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor berikutan hujan lebat berterusan.

Malah, situasi buruk turut melanda Universiti Malaysia Kelantan (UMK) apabila pelajar terpaksa meredah air banjir untuk menyelamatkan barangan peribadi masing-masing.

Pada masa sama, kementerian itu turut membuka dan mengaktifkan bilik gerakan banjir di institut terkesan bagi memudahkan pelajar, kakitangan dan ibu bapa untuk mendapatkan maklumat terkini.

"KPT akan turut menyalurkan bantuan segera, khususnya makanan, tempat perlindungan sementara dan keperluan asas bagi pelajar serta warga IPT," tulisnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram