'Kali ini jauh lebih buruk', pelajar UMK Kampus Kota redah banjir, selamatkan 'laptop', buku


  • Bonda
  • Isnin, 24 Nov 2025

Kelihatan beberapa pelajar mengharungi banjir sambil menyelamatkan barangan masing-masing.

BANJIR besar yang melanda Pengkalan Chepa, Kelantan sejak awal pagi Ahad mencetuskan situasi cemas apabila ratusan pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) terpaksa meredah air sedalam hampir satu meter untuk menyelamatkan diri dan harta benda masing-masing.

Seorang pengguna TikTok, Siti Maluddin yang berkongsi keadaan itu berkata, banjir kali ini jauh lebih buruk berbanding tahun sebelumnya.

“Banjir besar di Pengkalan Chepa. Kesian anak-anak UMK terjejas… lebih besar daripada yang sebelum ini,” katanya.

BACA LAGI: 'Alhamdullilah', Alyssa, Al bakal timang anak sulung, Maia Estianty ingin cucu panggil 'Oma Bunda'

BACA LAGI: Min Luna buka tirai Fashionably Modest Asia 2025, menata rias gabungan 20 'look' dari pelbagai pereka

Dalam rakaman video dimuat naiknya, kelihatan beberapa pelajar mengangkat beg pakaian, komputer riba dan barangan lain sambil mengharungi banjir demi menyelamatkan barang masing-masing.

Siti turut menzahirkan rasa simpati terhadap pelajar yang berdepan detik genting itu.

“Pelajar UMK struggle menyelamatkan harta benda… ada yang belum tertolong. Semoga dipermudahkan urusan mereka,” katanya lagi.

Sementara itu, dalam kenyataan rasmi di Facebook, Universiti Malaysia Kelantan memaklumkan bahawa seramai 541 pelajar dari Kolej Kediaman Taman Bendahara, UMK Kampus Kota dipindahkan ke UMK Bachok berikutan paras banjir yang mencecah 0.8 meter di kawasan tersebut pada Ahad.

UMK berkata, perpindahan itu dibuat atas faktor keselamatan, kesihatan dan memastikan kelancaran pembelajaran dalam talian.

Notis pemotongan bekalan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) di kawasan Taman Bendahara turut menjadi antara faktor penting perpindahan tersebut.

Operasi pemindahan bermula pukul 4.30 petang dan selesai sekitar pukul 8.30 malam dengan membabitkan pergerakan semua pelajar dari lokasi terjejas ke kampus selamat di Bachok.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna meluahkan rasa simpati dan kecewa dengan isu banjir di Pantai Timur yang dilihat berulang saban tahun.

“Tiap tahun banjir di Pantai Timur. Kerajaan negeri tak ada inisiatif nak buat sistem pam ke atau tingkatkan sistem saliran utama. Sian tengok rakyat tiap tahun," kata Frhnasyd.

Pengguna lain, Sisme8455 pula bersimpati terhadap pelajar yang terpaksa menyelamatkan barang akademik masing-masing.

“Mesti dalam salah seorang ni dari keluarga susah dan tengah selamatkan laptop dan buku-buku dari basah," katanya.

Seorang pelajar, Patiry turut berasa kesal kerana belum sempat mengambil barangan yang baru dibelinya.

“Parcel aku tak sempat ambil," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram