MALAYSIA mengukuhkan peranannya sebagai hab keusahawanan belia serantau melalui penganjuran Forum Keusahawanan Belia ASEAN (ASEAN Youth Entrepreneur Forum – AYEF) 2025 bertemakan 'Global. Digital. Resilient: Shaping the Future of Youth Entrepreneurship'.
Lebih 300 peserta terdiri daripada usahawan muda, pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), ahli akademik serta pemimpin industri dari seluruh ASEAN terlibat dalam forum itu yang berlangsung di Dewan Konsert Seri Budiman, UiTM Shah Alam.
Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata, penganjuran AYEF 2025 bukan sekadar medan perkongsian ilmu, tetapi lambang kebersamaan dan kebangkitan semangat keusahawanan pasca pandemik.
BACA LAGI: Tengku Zafrul 'sapot' bekas staf MITI, belanja Menteri Ekonomi negara-negara ASEAN makan nasi lemak
BACA LAGI: Bagai bercuti di resort mewah, Johor pilihan wanita Singapura berpantang lepas bersalin

Shahrin berkata, UiTM memainkan peranan penting dalam melahirkan pelajar yang berfikiran kreatif dan berpandangan jauh.
“Selepas bertahun-tahun hanya berinteraksi secara maya, forum ini membuka ruang untuk belia ASEAN bersemuka, membina jaringan dan berkongsi idea baharu.
“Dalam dunia pasca normal, kejayaan memerlukan kebersamaan, bukan sahaja dalam negara, tetapi di seluruh rantau ASEAN," katanya.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Naib Canselor UiTM, mewakili Menteri Pendidikan Tinggi.
Mengulas lanjut, Shahrin berkata, UiTM menyasarkan 10 peratus graduannya menjadi usahawan, selaras dengan aspirasi untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam sektor ekonomi dan membangunkan masyarakat yang inklusif.
Beliau juga menegaskan bahawa kestabilan politik dan sosioekonomi amat penting bagi melahirkan ekosistem keusahawanan yang mampan.
“Kita perlu pastikan keseimbangan politik yang stabil dan ekonomi yang kukuh. Sebab itu kita galakkan belia meneroka peluang seperti pinjaman mikro BSN atau memulakan syarikat pemula (start-up)," katanya.
Daripada perspektif UiTM, sebagai peneraju pembangunan usahawan muda negara, institusi itu terus memainkan peranan penting dalam melahirkan pelajar yang berfikiran kreatif dan berpandangan jauh.
“UiTM ialah universiti pertama di Malaysia yang mewajibkan subjek keusahawanan kepada semua pelajarnya.
“Kami mahu melahirkan graduan yang bukan sahaja bekerja, tetapi berfikir seperti usahawan dengan melihat masalah sebagai peluang dan kelemahan sebagai kekuatan," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 memainkan peranan penting dalam memperkasa jaringan serantau melalui kolaborasi akademik dan pembangunan bakat muda.
“Kita ingin melihat ASEAN sebagai rantau yang aman dan makmur, kerana keamanan menjamin kemajuan.
“Melalui perkongsian seperti ini, kita belajar daripada negara lain dan mereka juga dapat belajar sesuatu daripada kita," katanya.
Sementara itu, Shahrin turut menarik perhatian terhadap sejarah dan kekuatan geografi Malaysia yang menjadikannya pusat perdagangan dan keusahawanan sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka.
Beliau menjelaskan bahawa kedudukan strategik itu kekal menjadi kelebihan utama negara.
“Malaysia sebuah negara neutral yang berasaskan perdagangan dan terbuka kepada semua rakan dagang — China, Amerika Syarikat mahupun negara Islam lain.
“Kekuatan kita ialah kepelbagaian dan keupayaan untuk bergerak pantas dalam dunia digital yang pesat berubah," katanya.
Melalui inisiatif seperti ASEAN Youth Startup Showcase dan Networking Pavilion, AYEF 2025 membuka peluang untuk pelajar, pelabur dan mentor berkongsi pengalaman serta membina rangkaian perniagaan baharu di peringkat serantau.
Program itu dianjurkan oleh Malaysian Academy of SME & Entrepreneurship Development (MASMED), UiTM, dengan kerjasama LSPR Communication and Business Institute serta London School of Public Relations Institute, sebagai kesinambungan kepada siri Asia News Entrepreneur yang sebelum ini diadakan di Indonesia.
Program itu turut menyokong agenda strategik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam pembangunan bakat, kecemerlangan akademik, pemindahan ilmu, pengantarabangsaan pendidikan tinggi, kelestarian kewangan dan pendigitalan kampus.
Secara keseluruhannya, AYEF 2025 membuktikan komitmen Malaysia dalam memperkukuh keusahawanan belia ASEAN melalui pendidikan, inovasi dan kolaborasi rentas negara.
Forum tersebut meninggalkan impak mendalam kepada peserta dengan menyemai semangat baharu untuk terus berinovasi, berdaya tahan dan membina perusahaan yang mampan demi kemajuan ekonomi serantau. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
