[VIDEO] Konsisten di bumi Kazakhstan, persembahan bertenaga Yazmin Aziz curi perhatian Mirnawan Nawawi


  • Tular
  • Rabu, 29 Okt 2025

Nama Yazmin kembali menjadi perhatian baru-baru ini apabila video nyanyiannya membawakan lagu Abracadabra nyanyian asal Lady Gaga tular di media sosial. — Instagram/@yazmin.aziz

PENYANYI muda berbakat besar, Yazmin Aziz mengharumkan nama Malaysia apabila terpilih mewakili negara dalam pertandingan nyanyian antarabangsa Silk Way Star yang berlangsung di Kazakhstan baru-baru ini.

Lebih membanggakan, Yazmin merupakan satu-satunya peserta dari Asia Tenggara yang menyertai pertandingan berprestij itu, yang menghimpunkan bakat dari 12 buah negara termasuk China, Korea Selatan dan tuan rumah, Kazakhstan.

Penyanyi berusia 24 tahun berdarah kacukan Malaysia-Filipina itu sudah berada di bumi Kazakhstan sejak September lalu.

BACA LAGI: Berang telefon dirosakkan adik, polis tak tolak kemungkinan Roblox punca budak lelaki dikelar di Parit Raja

BACA LAGI: [VIDEO] Akui kecewa dikeluarkan Bojan Hodak, Saddil mohon maaf lepas baling botol, tumbuk cermin bangku simpanan

Menariknya, Yazmin sebelum ini mendedahkan pernah menerima tawaran menyertai program realiti terkenal Amerika Syarikat, America’s Got Talent (AGT) yang disiarkan di rangkaian NBC.

Menurut Yazmin, tawaran itu diterimanya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020, susulan penularan wabak Covid-19.

Namun, dia terpaksa menolak peluang berkenaan kerana sekatan perjalanan ke luar negara yang dikuatkuasakan kerajaan Malaysia ketika itu.

 

 

Begitupun, nama Yazmin kembali menjadi perhatian baru-baru ini apabila video nyanyiannya membawakan lagu Abracadabra nyanyian asal Lady Gaga tular di media sosial.

Untuk rekod, Yazmin sebelum ini pernah menyertai program realiti Big Stage musim keempat (2022) sekali gus memperkenalkan dirinya kepada peminat tempatan.

Namanya semakin dikenali di platform digital selepas rakaman semula lagu 'Sakit' (asal Yonnyboii dan Zynakal) meraih ratusan ribu tontonan di TikTok.

Persembahan bertenaganya itu bukan sahaja memukau peminat, malah turut mendapat reaksi legenda hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi yang meninggalkan emoji api di ruangan komen, tanda sokongan dan kebanggaan terhadap bakat muda itu.

Nama Mirnawan tidaklah asing lagi dalam dunia sukan negara kerana beliau pernah membawa pasukan hoki kebangsaan, The Speedy Tigers, ke tiga edisi Sukan Olimpik iaitu Barcelona 1992, Atlanta 1996 dan Sydney 2000 serta menjadi pembawa bendera kontinjen Malaysia pada majlis pembukaan Olimpik Sydney 2000.

Dengan semangat juang dan bakat yang dimiliki, rakyat Malaysia pastinya berharap agar Yazmin mampu meraih kejayaan di bumi Kazakhstan, sekali gus menjulang nama Malaysia di pentas antarabangsa menjelang final Silk Way Star pada 22 November nanti.

Ketika ini, Yazmin terus menunjukkan konsistensi dalam Silk Way Star apabila meraih 116 mata pada episod keenam.

Dengan jumlah keseluruhan 686 mata, Yazmin kini berada dalam lima peserta terbaik keseluruhan, kekal bersaing rapat dengan peserta dari Kazakhstan, Armenia, Mongolia dan Uzbekistan menjelang pusingan seterusnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram