Trip batal gara-gara Hat Yai banjir, 3 lokasi termasuk Perlis jadi destinasi percutian selamat


  • Bisnes
  • Ahad, 23 Nov 2025

Kangar terkenal sebagai pusat pentadbiran negeri dan turut menempatkan beberapa tarikan menarik seperti Pasar Besar Kangar.

KEADAAN banjir di Hat Yai, Thailand sejak Jumaat lalu menyebabkan ramai rakyat Malaysia yang berada di sana terkandas dan sukar untuk keluar dari bandar tersebut.

Bagi mereka yang belum memulakan perjalanan, pihak berkuasa dan pengunjung tempatan menasihatkan supaya tidak memasuki Hat Yai buat sementara waktu sehingga situasi kembali selamat.

Rakyat Malaysia yang sudah merancang percutian ke Hat Yai kini tercari-cari destinasi alternatif selepas tempahan hotel mereka dibatalkan.

BACA LAGI: 'Rak makanan hampir kosong, air banjir naik paras dada', rakyat Malaysia kongsi situasi banjir buruk Hat Yai

BACA LAGI: Hat Yai diisytihar bencana banjir ‘red-flag’, rakyat Malaysia terkandas, catu makan di hotel

Langkawi merupakan destinasi pulau tropika yang popular.

"Nasib baik hotel still boleh cancel dan refund. Any suggestion, nak pergi mana ya next week selain Thailand?" soal seorang pengguna Threads.

Rata-rata tidak menyarankan rakyat Malaysia memasuki Hat Yai berdasarkan situasi banjir buruk yang sedang melanda destinasi pelancongan popular di Thailand itu.

"Kalau masih nak masuk Hat Yai, saya tak recommend untuk pergi. November ke Januari memang bukan musim orang ke Selatan Thailand.

"Sis better study weather dulu. Kami stranded semua, banjir tak boleh keluar ke mana-mana. Pelan balik hari ini rasanya tapi tak tahu boleh ke tak sebab main road semua banji,” katanya.

 

Pada pukul 10 malam, Jumaat (21 November), Datuk Bandar Perbandaran Hat Yai, Narongporn Na Phatthalung, mengumumkan pengisytiharan bencana melibatkan 65 komuniti dengan 28 di Daerah 1, Daerah 2 (29) dan Daerah 3 (8).

Ia selepas hujan lebat menenggelamkan sistem perparitan dan menyebabkan air naik mendadak di seluruh kawasan bandar.

Datuk Bandar berkata, Hat Yai merekodkan 544 milimeter hujan terkumpul dalam tempoh tiga hari.

Sehubungan itu, bagi mereka yang terpaksa membatalkan perjalanan ke Hat Yai, beberapa destinasi alternatif menarik di Malaysia boleh dipertimbangkan antaranya Perlis, Langkawi di Kedah dan Pulau Pinang.

"Yang mana cancel plan ke Hat Yai, mari lah singgah Perlis. Sini sejuk macam New Zealand," kata seorang pengguna Threads.

Terdapat beberapa tarikan menarik seperti Masjid Alwi, Taman Kota Kayang, dan Pasar Besar Kangar.

Gua Kelam antara destinasi popular di Perlis yang menjadi tumpuan pengunjung. — The Star

Langkawi pula menawarkan percutian santai yang sesuai buat seisi keluarga atau pasangan yang ingin berbulan madu.

Destinasi pulau tropika itu terkenal dengan pantai putih bersih seperti Pantai Cenang dan Pantai Tengah di samping aktiviti pulau seperti Sky Bridge, cable car dan island hopping. 

Pulau Pinang juga antara destinasi popular di Utara tanah air yang boleh dikunjungi.

Gabungan budaya, sejarah dan makanan terkenal menjadikan Pulau Pinang destinasi pelancongan mesra keluarga.

George Town misalnya menawarkan mural seni jalanan, bangunan kolonial dan kafe hipster, manakala Batu Ferringhi sesuai untuk pantai dan aktiviti air.

Untuk itu, pelancong dinasihatkan menilai cuaca dan keadaan semasa sebelum membuat tempahan, selain mempertimbangkan pilihan destinasi tempatan yang selamat dan mudah diakses. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram