SITUASI banjir di bandar Hatyai, Thailand terus membimbangkan apabila sebuah tiang transformer elektrik meletup selepas paras air meningkat secara mendadak, sekali gus menyebabkan gangguan bekalan elektrik di kawasan berdekatan.
Insiden itu tular di media sosial selepas video menunjukkan letupan kuat berhampiran Jambatan Mac Khruang, Songkhla pada pagi Ahad dengan percikan api dan kepulan asap tebal jelas kelihatan sehingga mencetuskan kebimbangan penduduk setempat.
Menurut laporan portal Thailand, Postjung, letupan itu berlaku ketika banjir lazimnya berlaku apabila paras air melepasi tahap selamat dan mengenai komponen elektrik, menyebabkan litar pintas serta kerosakan dalaman pada peralatan berkenaan.
BACA LAGI: [VIDEO] 4,000 rakyat Malaysia terkandas di Hat Yai-Songkhla, Wisma Putra pantau rapat keadaan semasa
Bagaimanapun, sehingga kini masih tiada sebarang kenyataan daripada pihak berkuasa mengenai kejadian tiang transformer elektrik meletup di Hatyai itu.
Dalam masa sama, banjir yang melanda sejak beberapa hari lalu turut menenggelamkan sebahagian besar jalan utama di Hatyai hingga menjejaskan aktiviti pelancong, lebih-lebih lagi apabila bandar itu menjadi antara destinasi tumpuan utama pengunjung.
Penduduk dan pelancong difahamkan terpaksa berlindung di hotel serta kawasan perumahan apabila banyak premis ditutup susulan gangguan bekalan elektrik sejak pada Sabtu.
Sementara itu, Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan sehingga tengah hari ini, kira-kira 4,000 rakyat Malaysia di dua kawasan berkenaan terjejas.
Menurut Wisma Putra, majoriti rakyat Malaysia dilaporkan selamat namun terdapat juga yang terjejas tetapi bilangannya kecil.
Rakyat Malaysia di Hat Yai dan daerah sekitarnya turut dinasihatkan agar kekal berada di dalam bangunan sekiranya boleh, mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan, dan berhati-hati di kawasan yang dilanda banjir. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
