Tip keselamatan digital remaja sebagai panduan ibu bapa dilancar hasil usaha TikTok, Content Forum dan MCMC


  • Massa
  • Jumaat, 21 Nov 2025

TikTok menetapkan akaun pengguna bawah 16 tahun sebagai peribadi secara automatik, manakala kanak-kanak bawah 13 tahun tidak dibenarkan membuka akaun.

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), TikTok dan Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Content Forum) melancarkan #ThinkTwice Parental Advisory pada Jumaat bagi membantu ibu bapa meningkatkan keselamatan digital golongan remaja.

TikTok dalam satu kenyataan berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada kempen literasi digital #ThinkTwice yang menekankan pendekatan keselamatan dalam talian berasaskan komuniti dan bukti.

Kempen berkenaan turut memberi fokus kepada tanggungjawab bersama antara ibu bapa, platform digital dan pembuat dasar, tanpa menafikan hak kanak-kanak untuk mengakses maklumat, menyuarakan pendapat, menjaga privasi serta menikmati kebebasan berfikir.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Hari ini saya bantu abang, esok ALLAH tolong saya', mekanik jalanan sanggup 'turun' pukul 1 pagi baiki motosikal keluarga kecil

BACA LAGI: 'Bila dah tua, belum tentu anak bagi duduk sama', bekas tentera risau temui ajal sendirian

Ketua Pegawai Eksekutif Content Forum, Mediha Mahmood menegaskan kesejahteraan digital remaja tidak hanya bergantung pada platform, tetapi turut dibentuk oleh sokongan keluarga dan persekitaran rumah yang sihat.

“Keselamatan dalam talian bukan bermaksud mengehadkan akses remaja ke dunia digital. Internet hanyalah refleksi isu sosial sebenar. Budaya dibentuk oleh komuniti dan tabiat baik bermula dari rumah.

Kita perlu memperkasa ibu bapa untuk memupuk kreativiti sambil meningkatkan kewaspadaan dan rutin sihat, selain membina komunikasi bermakna dengan anak remaja,” katanya.

Sementara itu, Ketua Dasar Awam Malaysia TikTok Firdaus Fadzil, berkata cabaran seperti buli siber, tekanan rakan sebaya, isu kesihatan mental dan tingkah laku berbahaya bukan fenomena baharu, namun peranan ibu bapa tetap menjadi tunjang utama.

“Ibu bapa adalah pembimbing terdekat dan paling memahami keperluan anak. Kami mahu melengkapkan mereka dengan pengetahuan serta alat yang betul bagi membentuk generasi digital bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata, panduan #ThinkTwice membantu ibu bapa memainkan peranan lebih aktif melalui ciri keselamatan komprehensif TikTok, selari dengan dapatan penyelidikan global.

Dalam kenyataan sama, MCMC menjelaskan panduan itu melengkapi Kempen Keselamatan Internet serta menyokong usaha kerajaan mewujudkan ekosistem digital lebih selamat dan bertanggungjawab.

Menurut MCMC, platform seperti TikTok memainkan peranan penting melindungi pengguna sambil menghormati hak kanak-kanak untuk mengakses maklumat serta menyuarakan pandangan mengikut kesesuaian usia.

“Inisiatif seperti #ThinkTwice menyediakan alat praktikal, panduan dan kesedaran untuk memastikan remaja Malaysia dapat meneroka dunia digital dengan lebih yakin dan selamat,” katanya.

Tiga Tip Keselamatan Untuk Ibu Bapa

Panduan tersebut turut memperkenalkan tiga langkah praktikal bagi membantu ibu bapa meningkatkan keselamatan digital anak-anak mereka

Tip pertama: Pantau aktiviti digital remaja

Melalui ciri Family Pairing, ibu bapa boleh memaut akaun mereka dengan akaun anak, memantau aktiviti, menerima notifikasi muat naik serta melihat masa penggunaan melalui Screen Time Dashboard.

TikTok juga menetapkan akaun pengguna bawah 16 tahun sebagai peribadi secara automatik, manakala kanak-kanak bawah 13 tahun tidak dibenarkan membuka akaun.

Tip kedua: Laras tetapan mengikut keperluan

Antaranya menetapkan had masa skrin, menyekat notifikasi, memilih akaun peribadi atau umum, mengurus mesej langsung serta memperibadikan kandungan melalui ciri Manage Topics.

Tip ketiga: Mulakan perbualan tentang literasi digital

Ibu bapa digalakkan berbincang secara terbuka mengenai trend, risiko atau pengalaman tidak selesa yang dialami anak, sambil mengajar mereka cara menyekat, melapor dan berinteraksi secara selamat.

Melalui hab pengetahuan #ThinkTwice, ibu bapa boleh mengakses bahan rujukan berkaitan pencegahan penipuan, kesihatan mental dan panduan literasi digital bagi mengukuhkan pertimbangan serta ketahanan remaja ketika melayari dunia maya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram