Lebih 5,000 tabung derma haram termasuk dari Thailand, India dirampas di Johor sejak 2023 — JAINJ


  • Massa
  • Jumaat, 21 Nov 2025

JAINJ merampas sebanyak 5,087 tabung derma tidak berdaftar di seluruh negeri sejak tahun 2023 hingga kini, membabitkan jumlah kutipan lebih RM192,958.

JABATAN Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) merampas sebanyak 5,087 tabung derma tidak berdaftar di seluruh negeri sejak tahun 2023, membabitkan jumlah kutipan lebih RM192,958.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, berkata semua wang hasil rampasan berkenaan sudah disalurkan kepada Baitulmal seperti ketetapan undang-undang agama negeri.

Menurut beliau, peningkatan jumlah tabung derma tidak sah serta kutipan amal tanpa kebenaran menyebabkan JAINJ perlu memperketatkan penguatkuasaan, terutama di premis tumpuan ramai seperti restoran, kedai runcit dan kawasan awam.

BACA LAGI : Tip keselamatan digital remaja sebagai panduan ibu bapa dilancar hasil usaha TikTok, Content Forum dan MCMC

BACA LAGI : [VIDEO] 'Hari ini saya bantu abang, esok ALLAH tolong saya', mekanik jalanan sanggup 'turun' pukul 1 pagi baiki motosikal keluarga kecil

"Hanya kutipan derma atau khairat yang mendapat kelulusan bertulis Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dibenarkan mengikut Seksyen 106 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor 2003.

"Langkah ini bagi memastikan setiap sumbangan umat Islam diurus secara telus, berhemah dan mematuhi syariah," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Mohd Fuad Tukirin (BN-Bukit Naning) mengenai tindakan membanteras tabung derma tidak berlesen yang diletakkan di restoran dan kedai.

Johor Islamic religious affairs committee chairman Mohd Fared Mohd Khalid (BN-Semerah) said Jawi is not only for the Malays, but it is a script for all Malaysians including the Chinese and Indians.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid

Fared menjelaskan bahawa isu tersebut dipandang serius memandangkan tabung haram semakin banyak ditemui di premis-premis seluruh Johor.

Bagi menangani masalah itu, JAINJ meneruskan pelaksanaan garis panduan ketat, termasuk mewajibkan mana-mana individu atau organisasi yang ingin menjalankan kutipan amal supaya memohon melalui Garis Panduan Permohonan Kutipan Amal 2020.

Setiap permohonan diteliti bagi memastikan tujuan kutipan adalah sah, mematuhi syariah serta selaras dengan undang-undang.

Pemohon yang diberi kelulusan turut diwajibkan mematuhi syarat termasuk memastikan semua kutipan dilakukan dalam tempoh yang dibenarkan, hanya di lokasi yang diluluskan serta menggunakan tabung dan resit yang telah dicop serta dimeterai oleh MAINJ.

Mereka juga perlu menyimpan rekod kewangan lengkap bagi setiap kutipan dan perbelanjaan. Sekiranya jumlah kutipan melebihi sasaran ditetapkan, kelulusan terbatal dan lebihan tersebut mesti disalurkan kepada Baitulmal.

MAINJ dan JAINJ pula berhak menjalankan audit pada bila-bila masa.

Fared turut mendedahkan bahawa dari Januari hingga September tahun ini sahaja, 1,984 tabung derma tidak sah mengandungi RM91,378.75 dirampas.

Kebanyakannya didapati berkaitan dengan masjid, surau, sekolah agama, pertubuhan tertentu dan juga kumpulan dari luar negara.

Menurut beliau, hasil siasatan menunjukkan banyak tabung itu datang dari luar Johor serta luar negara seperti Thailand dan India, dan diletakkan di restoran, pasar mini, kawasan pasar malam, pasar tani serta pintu masuk bank.

Setakat ini, lima individu ditahan atas kesalahan menjalankan kutipan tanpa kebenaran, termasuk pesalah berulang.

Mereka dikenakan tindakan mahkamah berupa denda, hukuman penjara serta kaunseling mandatori.

Di bawah Seksyen 106(5) enakmen sama, pesalah boleh dikenakan denda maksimum RM3,000, penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, Fared berkata usaha mempertingkatkan kesedaran masyarakat turut dilaksanakan melalui khutbah Jumaat, ceramah, media sosial serta kerjasama dengan NGO Islam bagi mengingatkan umat Islam supaya menyalurkan sumbangan hanya melalui saluran yang sah.

"Kita mahu pastikan setiap sumbangan sampai kepada penerima yang berhak dan masyarakat tidak terpedaya dengan kutipan palsu," katanya. — The Star/ MOHD FARHAAN SHAH

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram