SEGELINTIR warga emas memilih untuk hidup bersendirian kerana tidak mahu membebankan anak-anak, namun keputusan itu kadangkala menimbulkan rasa sunyi dan kerisauan yang mendalam.
Perkongsian seorang pengguna Threads, Mat Duan, mengenai pertemuannya dengan seorang pak cik berusia lebih 70 tahun di sebuah masjid pada Rabu, membuka mata ramai mengenai realiti kehidupan warga emas yang berdikari tetapi sunyi.
Menurut Mat Duan, pertemuan itu bermula ketika pak cik tersebut memberi salam sewaktu mereka sama-sama membuka kasut di beranda masjid.
Pertanyaan ringkas mengenai tempat tinggal dan tugas membawa kepada perbualan lebih panjang ketika mereka menuju ke tempat mengambil wuduk.
Selepas solat Isyak, warga emas itu kembali berbual ketika mereka memakai kasut.
Dalam perbualan itu, pak cik berkenaan mendedahkan bahawa dia berasal dari Sibu, Sarawak, dan kini menyewa bilik berhampiran masjid tersebut yang tidak didedahkan lokasinya.
Warga emas itu juga memaklumkan dia merupakan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang kehilangan isteri. Walaupun anak-anaknya tinggal berdekatan, dia memilih untuk hidup sendiri.
Dalam perbualan itu, Mat Duan turut berkongsi rasa serba salah mengenai keadaan pakcik berkenaan. Pak cik yang berusia lebih 70 tahun itu hidup seorang diri selepas isterinya meninggal dunia, walaupun anak-anaknya masih ada.
Mat Duan sendiri tidak pasti sama ada anak-anak pak cik itu tidak membenarkan dia tinggal bersama atau pak cik berkenaan sengaja tidak mahu menyusahkan mereka.
Namun, cara pak cik itu menceritakan kehidupannya seolah-olah anak-anaknya kurang selesa jika dia tinggal bersama.
"Bila kita dah tua, nak duduk dengan anak belum tentu anak bagi.
"Tapi kita sebagai ibu atau bapa, kalau anak nak duduk dengan kita bertahun-tahun, berpuluh tahun pun, kita tak pernah kisah,” katanya seperti diceritakan Mat Duan.
Walaupun begitu, pak cik itu bersyukur kerana ALLAH memberikannya kesihatan yang baik dan boleh lagi bekerja mengutip sampah dengan pendapatan sekitar RM2,000 sebulan, cukup untuk menampung kos sewa bilik serta keperluan harian seperti makanan dan pakaian.
Kehidupan sederhana itu dipilihnya bagi memastikan beliau tetap berdikari tanpa membebankan sesiapa, namun di sebalik kesyukuran itu, tersimpan rasa sunyi dan kebimbangan mengenai masa depannya.
"Dia takut kalau ALLAH jemput dia nanti, tak ada siapa tahu. Bila dah berbau busuk baru orang sedar dia dah meninggal… sebab duduk seorang, bukan ada siapa yang nak datang tengok,” tulis Mat Duan.
Perkongsian itu mendapat perhatian ramai netizen yang menzahirkan rasa simpati dan mengingatkan masyarakat supaya menghargai ibu bapa selagi mereka masih ada.
Mat Duan menutup kisahnya dengan pesanan menyentuh hati:
"Kalau korang ada mak ayah, hargailah mereka selagi ada. Bila kita tua nanti, belum tentu nasib kita lebih baik daripada pak cik itu," katanya.
Kisah tular tersebut sekali lagi menekankan kasih sayang, perhatian, dan kehadiran anak-anak sering menjadi keperluan terbesar warga emas melebihi harta dan kemudahan material. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
