SUDAH menjadi kebiasaan buat pekerja p-hailing untuk berdepan ketidaktentuan dalam pendapatan harian kerana ia bergantung kepada pesanan pelanggan.
Jika tidak mempunyai sebarang pesanan, mereka terpaksa menunggu dengan harapan rezeki akan datang meskipun waktu senggang itu kadang-kala mencecah berjam-jam lamanya.
Bagaimanapun, siapa sangka, tempoh itulah yang mendatangkan rezeki tidak disangka-sangka buat beberapa penghantar makanan p-hailing yang sedang menunggu pesanan sekitar Sunway Carnival Mall dekat Seberang Perai, Pulau Pinang.
BACA LAGI: Harga menu RM39, lepas kira caj lain, netizen anggap peniaga burger sedekah buat amal jariah
BACA LAGI: Berkat sedekah Subuh, wanita bangkit semula jayakan bisnes telur lepas muflis
Dalam sebuah video dimuat naik di akaun TikTok mjas4580, beberapa penunggang kelihatan sebak dan teruja apabila individu tidak dikenali memberikan wang berjumlah RM50 ketika sedang menunggu pesanan.
"Terima kasih orang baik. Dengan pesanan yang perlahan ini, definisi kaya sebenar," tulis pemilik akaun berkenaan di ruangan kapsyen video pendek itu.
Rakaman berdurasi 15 saat itu memaparkan kereta jenis Honda City dipercayai dipandu wanita baik hati tersebut meninggalkan perkarangan pusat beli-belah terbabit.
Wang dihulurkan tersebut jelas menyentuh hati pekerja p-hailing itu apabila salah seorang daripadanya tidak dapat menahan sebak atas rezeki tidak disangka-sangka itu.
Video pendek terbabit kemudiannya menerima perkongsian beribu-ribu kali dengan pengguna TikTok lain turut tersentuh akan sikap pemurah individu tidak dikenali berkenaan.
"Ini bukan soal kaya, tetapi hati dan pendidikannya. Semoga akak yang bersedekah dan 'rider' p-hailing sentiasa sihat-sihat selalu," kata Acappp.
"Kadang-kadang, sewaktu memang susah, tiba-tiba ada orang hulur bantuan, terus terasa sangat besar dan terus sebak. Terima kasih orang baik, semoga ALLAH permudahkan setiap urusannya," kata Norzainiii.
"Rezeki tidak disangka-sangka. Orang yang tidak pernah rasa susah sehingga duit dalam dompet tinggal RM1 tidak akan faham rasa syukur apabila dapat rezeki tidak disangka begini," kata Me. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
