[VIDEO] Penuntut UA sekali lagi didenda RM10,000 jual video lucah, peguam wanita nasihat hati-hati pilih kawan


  • Kes
  • Khamis, 09 Okt 2025

Muhammad Aidil mengaku bersalah atas pertuduhan menjual video lucah di Mahkamah Sesyen Sepang.

SEORANG pelajar universiti awam dijatuhkan hukuman denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di Sepang, Selangor pada Khamis selepas mengaku bersalah menjual video lucah melalui aplikasi Telegram bagi tujuan komersial pada Julai lalu.

Muhammad Aidil Akmal Azhar, 24, selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan akaun Telegram bernama @cocomelon87untuk menghantar satu video lucah bertajuk Promo July24 yang dijual kepada seorang pegawai penyamar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan bayaran RM100.

BACA LAGI: Penduduk Pangsapuri Sri Meranti rimas, dakwa pelajar sekolah 'rem' motor tanda protes ditegur merokok, hisap ‘pod’

BACA LAGI: Misteri identiti mayat terapung ditemukan dekat tali air, cetus tanda tanya warga Seberang Perai

Memetik laporan Harian Metro, kesalahan berkenaan dilakukan kira-kira pukul 9.52 malam di sebuah kondominium di ibu negara.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya MCMC, Fadhli Ab. Wahab dan Nur Nazhzilah Mohammad Hashim, manakala tertuduh diwakili oleh Sabrina Mohammad dan Muhammad Iman Azhar daripada Tetuan Aimee & Zaim Arif.

Peguam bela tertuduh memohon hukuman rendah dengan alasan anak guam mereka tidak mempunyai rekod kesalahan lampau, menyesal atas perbuatannya serta berjanji tidak akan mengulanginya.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Hakim Ahmad Fuad menjatuhkan hukuman denda RM10,000 dan menasihatkan tertuduh agar tidak mengulangi kesalahan yang mencemar maruah diri serta menyalahi undang-undang.

Difahamkan, kes berkenaan merupakan kes kedua tertuduh selepas Muhammad Aidil sebelum ini dihadirkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dua minggu lalu atas pertuduhan sama.

Dalam pada itu, peguam OKS iaitu Sabrina tampil memberi nasihat kepada orang ramai terutama pelajar universiti untuk lebih berhati-hati dalam memilih kawan sebelum perkara tidak diingini berlaku.

"Kita berharap agar OKS tiga masyarakat di luar sana mengambil iktibar dan lebih berhati-hati dengan siapa kita bergaul dan juga membuat keputusan di masa depan," pesannya ringkas menerusi video temu bual. —  Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram