'Tak perlu berdiri tepi jalan,' Prabowo minta pelajar fokus sekolah ketika lawatan kerja presiden


  • Benua
  • Rabu, 19 Nov 2025

Prabowo (tengah) bersalam-salaman dengan pelajar sekolah yang menyambutnya. — Agensi

PRESIDEN Indonesia, Prabowo Subianto mahu menghapuskan budaya menyambut pemimpin ketika lawatan kerja dalam kalangan pelajar sekolah di negara itu.

Memetik laporan di Indonesia, Prabowo mahu para pelajar fokus menuntut ilmu dan tidak membuang masa menyambutnya dengan berdiri di bawah panas terik matahari.

Kata Prabowo, jika dia mahu melawat para pelajar semasa lawatan kerja, dia boleh terus ke kelas untuk bertemu mereka.

BACA LAGI:  Cedok gambar kemudian jana AI 'Ghibli style', video muzik penerbitan stesen TV dikritik

BACA LAGI: Digital Sabah RM2 bilion: MCMC jamin bukan sekadar janji atas kertas

Prabowo (tengah) ketika merasmikan Jambatan Kabanaran di Yogyakarta.

Presiden itu berkata selepas merasmikan jambatan, jejambat dan dan terowong di Jambatan Kabanaran, Bantul, Yogyakarta, pada Rabu.

"Saya ingin berpesan, saya baru saja mendarat ke sini. Terima kasih, saya disambut oleh orang ramai dan banyak pelajar sekolah.

"Saya sangat kagum tapi saya kasihan dengan mereka kerana perlu berdiri lama di bawah panas matahari. Mereka boleh menonton saya di televisyen.

"Saya minta kepada Setiausaha Kabinet, Teddy Indra Wijaya untuk menulis kepada semua pemimpin tempatan, mengatakan yang jika saya dalam lawatan kerja, pelajar sekolah tidak perlu menyambut saya di tepi jalan. Biar mereka berbuat demikian di sekolah masing-masing," ujarnya.

Prabowo menjelaskan dia terharu apabila dia disambut oleh pelajar-pelajar sekolah semasa lawatan kerjanya tapi dalam masa yang sama tidak mahu para pelajar tunggu terlalu lama ketika cuaca terik.

Dia berkata, masa menunggu yang panjang itu sepatutnya digunakan untuk belajar di dalam bilik darjah.

"Saya risau jika ia mengurangkan waktu persekolahan mereka tapi saya sangat kagum dan terharu dengan sambutan diberikan.

"Tapi saya kasihan dengan mereka kerana tunggu terlalu lama dan ada masanya, konvoi saya bergerak terlalu laju jadi saya tiada masa untuk menyapa dan bertemu mereka.

"Oleh itu, saya minta para penguasa di seluruh Indonesia untuk tidak menggerakkan para pelajar semasa saya dalam lawatan kerja," kata Prabowo. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram