JASAD seorang lelaki yang dihanyutkan arus deras dalam kejadian kepala air di Sungai Klang berhampiran Pintasan Saloma, Kuala Lumpur pada Isnin lalu telah ditemukan di kawasan Kampung Sungai Kandis, Shah Alam, Selangor pada Jumaat.
Menurut laporan, jasad lelaki yang merupakan penyelia pembinaan itu ditemukan kira-kira 45 kilometer (km) dari tempat dia dilaporkan dihanyutkan.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam ketika dihubungi pada Jumaat.
“Jasadnya sudah ditemui,” katanya ringkas.
BACA LAGI: Bukan peperiksaan semata-mata, KPM tegaskan SPM tidak akan dimansuh — Fadhlina Sidek
BACA LAGI: [VIDEO] Hampir 50,000 kes remaja bawah 19 tahun hamil dalam tempoh 5 tahun
Sebelum ini, media melaporkan, seorang lelaki yang sedang melakukan kerja penambahbaikan Sungai Klang dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan kepala air berhampiran Pintasan Saloma pada pukul 5.40 petang Isnin.
Menurut laporan, ketika kejadian, terdapat 13 pekerja sedang bertugas di lokasi berkenaan yang mana 12 daripada mereka berjaya diselamatkan.
Mereka terdiri daripada tujuh warga Indonesia, Bangladesh (empat) dan seorang warga tempatan.
Susulan itu, lebih 200 anggota daripada pelbagai agensi terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Dalam perkembangan sama, sebuah kenderaan pacuan empat roda yang turut dihanyutkan dalam insiden berkenaan juga telah ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat pada Rabu. — The Star/JUSTIN ZACK
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
