MAHKAMAH Tinggi Shah Alam pada Khamis menolak permohonan seorang bapa supaya kubur Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Allahyarham Muhammad Amir Rusyaidi Muhamad Zaidi yang meninggal dunia setahun lalu digali semula.
Hakim, Roszianayati Ahmad memutuskan demikian selepas mendapati tiada percanggahan berhubung sebab kematian arwah ketika kejadian berusia 26 tahun sehingga jasadnya perlu digali dan bedah siasat perlu dibuat.
Bagaimanapun, beliau membenarkan inkues dijalankan dan mengarahkan pihak polis membuka semula siasatan ke atas kematian anak sulung daripada empat beradik terbabit.
BACA LAGI: [VIDEO] Hampir 50,000 kes remaja bawah 19 tahun hamil dalam tempoh 5 tahun
BACA LAGI: Jangan bunuh bola sepak kita — Safee Sali

Allahyarham Muhammad Amir Rusyaidi Muhamad Zaidi.
Ketika membaca keputusan penghakiman, Roszianayati berkata, mahkamah menolak penggalian semula dijalankan kerana punca kematian si mati telah dikenal pasti.
Katanya, ia dapat dikenal pasti melalui pemeriksaan dan rawatan yang dijalankan terhadap si mati oleh beberapa doktor di Hospital Shah Alam.
“Mereka telah mengikrarkan afidavit dan mengesahkan sebab kematian si mati ialah strok haba dan kegagalan beberapa organ.
“Tidak dipertikaikan bahawa si mati dibawa ke hospital pada pukul 5 petang 10 November 2024 dan meninggal dunia pada pukul 2 pagi tiga hari kemudian.
“Semasa rawatan, pelbagai pemeriksaan dan ujian klinikal telah dijalankan terhadapnya dengan hasil ujian menunjukkan si mati dalam keadaan dinyahhidratkan yang teruk sehingga melibatkan organ dalaman yang lain,” katanya.
Beliau berkata, doktor juga mengatakan tiada sebarang kecederaan fizikal lain yang ditemui melainkan kesan merah di lutut yang mana ia tidak membawa kepada kematian si mati.
Pelajar UiTM itu dikatakan pengsan semasa menyertai sesi latihan di padang kawad pada 10 November 2024, sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan dan dilaporkan meninggal dunia tiga hari kemudian. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
