SEMPENA ulang tahun ke-10 inisiatif kebajikan global Movenpick Hotels & Resorts menerusi 'Kilo of Kindness', Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA terus memperkukuh komitmen membantu masyarakat dengan memberi tumpuan kepada penjagaan dan maruah golongan warga emas di Malaysia.
Malaysia kini berada di ambang menjadi sebuah negara menua dengan keperluan penjagaan kediaman warga emas semakin meningkat saban tahun.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, penduduk berusia 65 tahun ke atas telah meningkat kepada 8.1 peratus pada 2024 dan dijangka melonjak kepada 14.5 peratus menjelang 2040.
BACA LAGI: [VIDEO] Hampir 50,000 kes remaja bawah 19 tahun hamil dalam tempoh 5 tahun
BACA LAGI: Mahkamah Tinggi tolak permohonan gali semula kubur pegawai kadet Palapes UiTM

Sebahagian daripada aktiviti inisiatif Kilo of Kindness.
Statistik itu menunjukkan keperluan mendesak terhadap sokongan yang lebih berperikemanusiaan untuk warga emas termasuk mereka yang berdepan pengabaian, masalah kesihatan atau hidup bersendirian.
Peningkatan penempatan warga emas di rumah jagaan dipengaruhi faktor sosial dan ekonomi seperti penghijrahan anak muda ke bandar bagi tujuan pekerjaan serta perubahan struktur keluarga.
Selain itu, peningkatan keperluan kesihatan akibat penyakit kronik turut menjadikan penjagaan jangka panjang di rumah semakin mencabar.
Di samping itu, laporan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut menunjukkan peningkatan kes pengabaian warga emas serta kes pesakit warga emas yang 'terperangkap' lama di hospital kerana tiada sokongan keluarga menggambarkan betapa pentingnya peranan komuniti dalam penjagaan warga emas.
Bagi menangani isu tersebut, Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA sekali lagi berganding bahu dengan Pusat Jagaan Mahmudah, sebuah rumah kebajikan berdaftar di Kampung Sungai Purun, Semenyih, Selangor.
Pusat tersebut yang telah beroperasi hampir 10 tahun kini menempatkan kira-kira 52 penghuni, kebanyakannya warga emas kurang upaya, uzur atau tidak mempunyai keluarga.
Pusat jagaan itu turut menyediakan penginapan percuma, makanan harian, bantuan perubatan serta sokongan emosi kepada penghuninya.

Antara barangan yang disumbangkan menerusi inisiatif Kilo of Kindness.
Kerjasama pertama Movenpick dengan pusat tersebut bermula pada 2023 dan diteruskan sebagai tanda komitmen jangka panjang hotel berkenaan untuk membantu komuniti setempat.
“Ramai penghuni datang hanya dengan pakaian di badan. Cabaran terbesar kami ialah memastikan keperluan asas seperti makanan, barangan kebersihan dan bekalan perubatan mencukupi.
"Kami amat berterima kasih kepada Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA kerana terus menyokong kami.
"Bantuan mereka bukan sahaja memastikan kelangsungan operasi harian, malah mengingatkan warga emas bahawa mereka tidak dilupakan,” kata Pengasas Pusat Jagaan Mahmudah, Hj. Azman Rasman.
Sementara itu, Pengurus Besarnya, Rudi Fajar Putra menegaskan bahawa hospitaliti bukan sekadar layanan tetapi berakar pada nilai kemanusiaan.
“Bagi kami di Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA, hospitaliti bukan hanya tentang layanan tetapi tentang nilai kemanusiaan.
“Melalui Kilo of Kindness, kami mengubah kebaikan tetamu menjadi tindakan yang membawa keselesaan, maruah dan perhatian kepada warga emas dalam komuniti ini,” katanya.

Sebahagian daripada warga emas yang menerima sumbangan.
Inisiatif itu turut bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai cabaran emosi dan sosial yang dihadapi warga emas, terutamanya mereka yang hidup bersendirian tanpa sokongan keluarga.
Dengan melibatkan kakitangan dan tetamu hotel dalam lawatan serta program sumbangan, Movenpick berharap dapat menyemai rasa empati, maruah dan kegembiraan dalam kalangan warga emas.
“Ini merupakan kerjasama kedua kami bersama Pusat Jagaan Mahmudah. Setiap kunjungan mengingatkan kami bahawa tindakan kecil mampu memberi keselesaan besar kepada mereka yang pernah menjaga generasi kita,” tambah Rudi.
Kempen ‘Kilo of Kindness’ anjuran Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA mengumpul sumbangan barangan keperluan bermula 13 Oktober hingga 30 November 2025 dengan kotak sumbangan disediakan di lobi hotel.
Barangan utama yang diperlukan termasuk makanan kering, lampin dewasa dan susu tepung untuk warga emas.
Semua sumbangan akan disalurkan terus ke Pusat Jagaan Mahmudah bagi menyokong keperluan harian penghuninya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
