SERAMAI 41,842 remaja perempuan berusia 19 tahun dan ke bawah direkodkan hamil di fasiliti kesihatan kerajaan dari 2020 hingga 2024, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau berkata, angka itu merangkumi remaja yang berkahwin dan tidak berkahwin, berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM).
“Daripada 41,842 kehamilan remaja tersebut, kira-kira 50 peratus adalah Melayu, 11 peratus pula Iban, sembilan peratus Orang Asli (Semenanjung), Cina (lima peratus), India (tiga peratus) dan selebihnya terdiri daripada pelbagai etnik lain,” katanya ketika sesi Dewan Rakyat pada Khamis.
BACA LAGI: [VIDEO] Tak sengaja masuk perairan negara jiran, pemancing puji layanan baik polis Singapura
BACA LAGI: 'Ini ke yang diajar pada anak kita?' Tayangan kartun kurang senonoh undang kebimbangan ibu bapa
Beliau menjawab soalan Mohd Misbahul Munir Masduki (PN–Parit Buntar) mengenai jumlah kehamilan luar nikah dalam kalangan remaja mengikut etnik serta langkah yang diambil kerajaan bagi menangani isu tersebut.
Nancy memaklumkan bahawa 16,951 daripada keseluruhan kes merupakan remaja yang tidak berkahwin, namun KKM tidak menyediakan perincian etnik khusus bagi kategori tersebut.
Beliau turut menegaskan bahawa isu kehamilan luar nikah dalam kalangan remaja memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan semua lapisan masyarakat.
“Usaha membendung masalah ini perlu digerakkan semua pihak demi memastikan generasi masa depan yang lebih sihat,” katanya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri (dua kiri).
Nancy turut memaklumkan bahawa kementeriannya akan melancarkan Dasar Keluarga Kebangsaan dan Pelan Tindakan Keluarga Kebangsaan Dasar Kanak-kanak Negara (2026-2030).
Ia bertujuan memperkukuh institusi keluarga, meningkatkan kestabilan sosial serta memperkasakan perancangan keluarga melalui peranan ibu bapa dan golongan belia.
"Ini termasuk Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEKERTI) yang bertujuan meningkatkan kesedaran serta memupuk tingkah laku bertanggungjawab dalam kalangan remaja," ujarnya.
Katanya, PEKERTI juga dimasukkan sebagai program di peringkat pengajian tinggi serta di peringkat komuniti selain memperluas aktiviti promosi dan advokasi mengenai pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial.
Nancy turut menekankan peranan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dalam menyediakan pelbagai khidmat sokongan seperti Pusat Remaja KafeTEEN, trak bergerak dan program berasaskan sekolah.
“KafeTEEN menawarkan bimbingan serta pendidikan untuk membentuk remaja yang positif dari segi fizikal, mental dan sosial,” katanya sambil memaklumkan inisiatif itu kini meliputi 18 pusat, sebuah trak bergerak serta program komuniti yang menyediakan klinik kesihatan reproduktif dan kaunseling psikososial.
Latihan rakan sebaya di bawah Kelab KafeTEEN turut diperluaskan ke 143 sekolah menengah dengan kerjasama Kementerian Pendidikan. — The Star/ARFA YUNUS/TEH ATHIRA YUSOF
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
