KES kecurian kabel yang semakin menjadi-jadi terus menghantui operasi Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) apabila ratusan jam kelewatan direkodkan sepanjang tahun ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mendedahkan bahawa perkhidmatan Electric Train Service (ETS) merekodkan 562 jam kelewatan, manakala KTM Komuter mencatatkan 741 jam gangguan sepanjang 2024 akibat perbuatan tidak bertanggungjawab itu.
Menurutnya, pengendali kereta api nasional berkenaan sedang bekerjasama rapat dengan agensi penguat kuasa sebagai tindakan segera menangani isu tersebut.
BACA LAGI: Pas bulanan BAS.MY dikurangkan kepada RM30, nilai tambang hanya RM1 sehari
BACA LAGI: Bayaran tambahan mungkin dikenakan untuk lesen fizikal bermula tahun depan — Anthony Loke
"Menjalankan operasi khas dan rondaan 24 jam oleh anggota Polis Bantuan KTMB di kawasan hotspot terutamanya di kawasan sekitar Lembah Klang. Selain itu, usaha akan diteruskan dengan memperkukuh rondaan dibuat bersama polis.
"Risikan dan intipan di lokasi berisiko tinggi, termasuk usaha membanteras sindiket pasaran gelap logam bersama pihak polis.
"Pemasangan 193 penutup manhole kabel disimen di sektor Utara dan pembaikan pagar yang bocor serta cadangan pemasangan kamera CCTV dan penggunaan dron di lokasi hotspot," katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen kepada Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin pada Khamis.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Antara Januari hingga Ogos, sebanyak 104 kes kecurian kabel direkodkan. Perak kekal sebagai lokasi paling terjejas dengan 38 kes, diikuti Selangor (37) dan Kedah (19). Negeri lain yang terlibat ialah Negeri Sembilan (4), Pulau Pinang (3), Kuala Lumpur (2) dan Pahang (1).
Dalam satu kenyataan pada Jun lalu, Ketua Pegawai Operasi KTMB, Zain Mat Taha menyifatkan kecurian kabel sebagai bentuk sabotaj infrastruktur yang bukan sahaja melumpuhkan sistem pengangkutan awam, malah boleh mengancam keselamatan ratusan penumpang.
Susulan itu, KTMB merancang menaik taraf rangkaian sistem isyarat sebagai langkah pencegahan jangka panjang dengan peruntukan RM12.8 juta setahun untuk tempoh tiga tahun menumpukan kawasan hotspot yang paling kerap menjadi sasaran pencuri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
