PENGGUNA perkhidmatan BAS.MY kini menikmati kadar pas bulanan lebih murah apabila harga baharu ditetapkan kepada RM30 berbanding RM50 sebelum ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kadar baharu itu berkuat kuasa serta-merta di semua kawasan yang mempunyai perkhidmatan BAS.MY termasuk negeri lain yang melaksanakan Program Transformasi Bas Henti-henti (SBST).
"Dengan pengurangan ini, kos perjalanan menggunakan BAS.MY hanyalah RM1 sehari atau 50 sen bagi perjalanan pergi dan balik ke mana-mana destinasi yang dilalui bas tersebut.
BACA LAGI : 'Cikgu ibarat bercakap dengan tunggul’, pelajar perempuan selamba buat 'live' ketika PdPC di sekolah
"Saya berharap penurunan harga ini akan menggalakkan lebih ramai orang melanggan pas bulanan dan menggunakan pengangkutan awam," katanya pada Isnin.
Pas bulanan tersebut mula diperkenalkan pada Ogos 2023 dengan harga RM50, dan menawarkan perjalanan tanpa had di semua laluan dalam tempoh 30 hari untuk warganegara Malaysia.
Anthony berkata, langkah itu merupakan sebahagian usaha kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang mampu milik bagi membantu pengguna harian, khususnya golongan pekerja.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke
Menurutnya, pas berharga RM30 itu akan dikekalkan secara tetap dan perlu diperbaharui setiap bulan.
"Warga emas, pelajar serta orang kurang upaya (OKU) pula tidak perlu membayar tambang bagi perkhidmatan BAS.MY tetapi mereka mesti memohon pas konsesi,” katanya.
Beliau turut memaklumkan permintaan terhadap perkhidmatan BAS.MY semakin meningkat di Johor Bahru, Johor dengan lebih 30,000 penumpang setiap hari atau lebih 900,000 pengguna sebulan.
"Tiga laluan baharu turut ditambah dalam perkhidmatan BAS.MY di Johor Bahru, menjadikan keseluruhan 21 laluan berbanding 18 sebelum ini, meliputi kawasan Johor Bahru, Iskandar Puteri, Pasir Gudang, Kulai, Kota Tinggi dan Pontian.
"Dengan penambahan laluan dan bas baharu ini, kita menjangka jumlah penumpang akan melebihi satu juta setiap bulan," katanya.— The Star/ YEE XIANG YUN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
