KEHILANGAN pasangan selepas puluhan tahun hidup bersama bukanlah sesuatu yang mudah diterima.
Namun, bagi pakar pembangunan organisasi dan kepemimpinan, Datuk Faridah Hanim Haron atau lebih mesra dipanggil Ibu Hanim, fasa paling perit itu menjadi ruang untuk beliau membuktikan bahawa kekuatan wanita bukan sekadar pada ketabahan, tetapi pada kebijaksanaan mengurus jiwa sendiri dan keluarga.
Suami beliau, Jasmi Arbain yang juga seorang bekas juruterbang helikopter menghembuskan nafas terakhir sebulan selepas ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-40.
BACA LAGI: Tingkatkan ilmu, belajar cintai diri agar rumah tangga dibina terus harmoni, bahagia — Dr. Muhaya

Kekuatan seorang wanita bukan diukur dari tiada air mata, tetapi dari keberanian untuk terus melangkah.
Pasangan yang mula bercinta sejak zaman MRSM pada 1978 itu sudah bersama selama 46 tahun.
“Malam terakhir itu… dia sempat ulang syahadah," kata Ibu Hanim kepada Majoriti.
Mengimbas detik-detik akhir bersama arwah, suara Ibu Hanim sesekali bergetar mengenang kembali detik pilu itu.
“Malam terakhir itu, Ibu sempat ajar dia dua kalimah syahadah… dua tiga kali dia ulang. Ibu ajar dia juga lafaz taubat. Lepas itu, sepanjang dekat nak Subuh itu, masa dia rasa tak sihat, dia berzikir," katanya,
Namun ada satu ayat yang kekal terpahat iaitu,“I love you, Intan… Maaflah, abang not a good husband.”
Intan ialah panggilan manja yang hanya suaminya gunakan dan kini menjadi memori yang tinggal dalam doa.
Walaupun rindu tidak pernah padam, Ibu Hanim mengakui beliau mampu bergerak ke hadapan kerana merasakan dirinya sudah menjalankan tanggungjawab sebagai isteri sebaik mungkin.
“Rindu… siapa kata tak rindu. Tiba-tiba tak ada kelibat dia di rumah. Tetapi tak ada rasa sedih yang buat Ibu sampai rasa menyesal atau berdosa kerana sepanjang hidup dengannya, ibu tak pernah sesekali tinggi suara pada dia, ibu tak berani, gegar arasy ALLAH nak," katanya.

Ibu Hanim tetap kuat demi anak-anak dan cucunya.
Menghadapi hari kehilangan bukan perkara mudah. Menurut Ibu Hanim, seluruh keluarga tidak mampu menerima berita kematian arwah pada awalnya.
“Kita semua tak boleh terima… tapi Ibu tahu, anak-anak perlukan tempat untuk berpaut," katanya.
Beliau sengaja memilih untuk tonjol kekuatan di hadapan anak-anak agar mereka bebas melepaskan rasa kesedihan.
“Kalau Ibu sendiri meraung, anak-anak nak release pada siapa? Jadi Ibu letak diri ke tepi. Biar mereka menangis, biar mereka pecah… Ibu kena jadi dinding," katanya.
Kerjaya dan perkahwinan: Bukan ‘balance’, tetapi ‘adil’
Menjawab persoalan bagaimana beliau membahagikan masa antara kerjaya dan rumah tangga suatu ketika dahulu, Ibu Hanim membetulkan persepsi umum.
“Ibu tak panggil itu seimbang. Ibu panggil adil. Bukan lima jam di rumah, lima jam di tempat kerja. Letak sesuatu di tempat yang betul," katanya.
Beliau bekerja keras demi menyediakan kehidupan selesa buat keluarga, termasuk kos rawatan dan ubat-ubatan suaminya ketika itu.
“Di tempat kerja, perjuangan Ibu banyak. Tapi bila balik, Ibu habiskan masa dengan dia. Setiap tahun ibu rancang family holiday untuk fokus pada dia," katanya.
Di sebalik kisah cinta yang bertahan 46 tahun, Ibu Hanim turut menitipkan prinsip penting dalam memilih pasangan hidup.
Baginya, ketidaksempurnaan pasangan itulah yang menyempurnakan antara satu sama lain. Namun beliau menegaskan bahawa tidak semua kekurangan membawa kebaikan.
“Kadang-kadang ketidaksempurnaan itu boleh menjadikan kita lebih buruk kerana kita benci, kita menyampah," katanya.
Oleh yang demikian, Ibu Hanim beranggapan amat penting untuk berdoa sebelum memasuki ke alam rumah tangga.
"Doa Ya ALLAH, kurniakan aku jodoh yang ketidaksempurnaannya aku mampu bersabar… yang membawa aku menjadi lebih baik, bukan menguji imanku.
“Cari orang yang benar-benar beriman dari hati. Orang beriman, auranya lain," katanya.
Untuk rekod, sebelum kehilangan suaminya, Ibu Hanim juga pernah melalui beberapa cabaran peribadi yang besar.
Pada 1994, beliau kehilangan ayahnya dan pada 2020, ibunya pula meninggal dunia.
Kehilangan kedua-dua orang tua itu meninggalkan kesan mendalam, namun beliau tetap tabah menguruskan keluarga dan diri sendiri.
Selain itu, Ibu Hanim juga pernah mengalami kemalangan teruk yang memerlukan beberapa pembedahan besar di mana 6 skru dan 2 spacer dipasang di bahagian leher untuk memulihkan.
Semua pengalaman itu mengajar beliau tentang erti kesabaran, kekuatan dalaman dan menghargai setiap detik bersama orang tersayang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
