[VIDEO] Menteri, delegasi selisih maut kapal terbang terbakar ketika mendarat di Lapangan Terbang Kolwezi


  • Benua
  • Selasa, 18 Nov 2025

Keadaan pesawat yang terbakar selepas terbabas dari landasan semasa mendarat di Lapangan Terbang Kolwezi. — Agensi

MENTERI Perlombongan Republik Demokratik Congo (DRC), Louis Watum Kabamba dan delegasi pegawai kanan kerajaan dilaporkan selamat selepas pesawat dinaiki mereka terbabas sebelum terbakar semasa mendarat.

Kejadian dilaporkan berlaku sekitar pukul 11 pagi (waktu tempatan) di Lapangan Terbang Kolwezi pada Isnin.

Rakaman video kejadian yang dimuat naik di laman sosial menunjukkan penumpang berpusu-pusu turun daripada pesawat yang dijilat api dengan asap tebal naik ke udara.

BACA LAGI: RTM nafi elemen pasangan sejenis dalam animasi Santiago of the Seas, siaran dihentikan untuk penelitian lanjut

BACA LAGI: [VIDEO] Caj tol masuk Genting Highlands perlu diteliti, pertimbang kenakan bayaran ikut tujuan lawatan — Ahmad Maslan

Menurut laporan, pesawat itu terbabas dari landasan sebelum ekornya tiba-tiba terbakar.

Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kematian dilaporkan.

Penasihat komunikasi menteri perlombongan, Isaac Nyembo mengesahkan bahawa pesawat itu terbabas dari landasan ketika mendarat di Lapangan Terbang Kolwezi di wilayah Lualaba.

“Pesawat dari Kinshasa itu terbabas dari landasan semasa mendarat di Lapangan Terbang Kolwezi, wilayah Lualaba sebelum terbakar beberapa saat kemudian.

“Kira-kira 20 penumpang berjaya keluar sebelum api marak,” katanya.

Rombongan menteri itu tiba di Kolwezi untuk menilai keadaan di lombong kobalt di Kolando selepas sebuah jambatan runtuh sehingga mengorbankan 32 pelombong haram pada Sabtu lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram