AKSI berani penjaga gol Kanada Bawah 17 Tahun (B-17), Jonathan Ransom menjadi tumpuan selepas percubaan perang psikologi yang dilakukannya berjaya menggagalkan sepakan penalti lawan dalam Pusingan 32 saingan Piala Dunia B-17 pada Jumaat.
Menerusi satu video dikongsi laman Facebook The Modern Day GK, Ransom kelihatan melakukan aksi luar jangka apabila bergayut pada palang gol beberapa saat sebelum pemain Ireland, Oisin David McDonagh mengambil sepakan penalti.
Helah itu nyata menjadi apabila Ransom berjaya menepis bola keluar.
BACA LAGI: Tak semuanya mudah, Faisal Halim antara 3 bintang HM berjaya bangkit hadapi 'mimpi ngeri'
BACA LAGI: Jodoh Cklamovski bersama Harimau Malaya masih kuat, katanya takkan terlerai selepas jumpa Nepal
Namun, keberaniannya itu dibayar harga apabila pengadil perlawanan melayangkan kad kuning kerana dianggap berkelakuan tidak wajar.
Meskipun demikian, tindakan tersebut jelas berjaya mengganggu fokus pemain lawan.
Perlawanan itu terpaksa ditentukan melalui sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada masa permainan sebenar.
Ireland terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Michael Noonan pada minit ke-65 sebelum Sergei Kozlovskiy menyamakan kedudukan buat Kanada pada m-85.
Walaupun Ransom berjaya menepis sepakan penalti dan memberi tekanan mental kepada pihak lawan, Kanada terpaksa menelan pahit apabila tewas 9-8 dalam sepakan penalti tersebut, sekali gus mengakhiri cabaran mereka dalam kejohanan itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
