Gara-gara kereta klon, wanita terkejut terima saman RM600 di Klang sedangkan kereta sebenar adik guna di UUM Kedah


  • Tular
  • Sabtu, 15 Nov 2025

Afiqah merayu orang ramai membantu mengesan kenderaan klon yang dipercayai berada di sekitar Klang sedangkan kereta sebenar berada di Changlun.

KES pengklonan kenderaan terus menghantui pemilik asal apabila nombor plat dan model kenderaan mereka disalahgunakan, sekali gus menimbulkan masalah saman dan kompaun trafik.

Terbaharu, seorang wanita melalui laman Facebooknya, Afiqah Safwanah, meluahkan rasa kesal dengan tindakan seorang individu yang dipercayai menggunakan Perodua Bezza biru dengan nombor plat VDD 7652 sama seperti kereta miliknya. 

Afiqah turut merayu orang ramai membantu mengesan kenderaan klon tersebut yang dipercayai berada di sekitar Klang, Selangor sedangkan kereta sebenar berada di Changlun, Kedah.

BACA LAGI : [VIDEO] Ambil iktibar staf wanita dirompak ketika bekerja seorang diri, usahawan tudung Terengganu tingkatkan keselamatan butik

BACA LAGI : [VIDEO] Tiga termasuk seorang warga tempatan maut, 3 parah kontena terbakar di Pelabuhan Tanjung Pelepas

Katanya, laporan polis dibuat, tetapi kenderaan klon masih gagal dikesan. 

"Jika ada yang ternampak atau terserempak, mohon maklumkan kepada saya. Sekiranya sempat, ambil gambar kereta dan pemandu. 

"Sesiapa yang mempunyai maklumat atau idea tindakan lain selain laporan polis, boleh hubungi saya," tulisnya pada Sabtu.

 Afiqah mendakwa masih perlu membayar saman mencecah lebih RM300 walaupun sudah membuat laporan polis. 

Menurut Afiqah lagi, dia mula menyedari perkara tersebut selepas menerima saman dan kompaun yang kini mencecah lebih RM600 disebabkan dua kesalahan berbeza yang dilakukan kenderaan klon tersebut, sedangkan kereta asalnya berada di lokasi lain.

"Antara saman dan kompaun yang diterima ialah, kompaun letak kereta berhampiran Bandar Botanik Klang dan saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atas kesalahan melebihi had laju.

"Kedua-dua kesalahan ini dilaporkan berlaku sekitar Oktober 2025.

"Apa yang menghairankan, sepanjang tempoh kesalahan itu berlaku, kereta sebenar saya tidak berada berhampiran kawasan tengah (Klang/Lembah Klang), malah ia berada bersama adik untuk kegunaan ke kelas di UUM Kedah," katanya.

Luahnya lagi, walaupun membuat laporan, dia masih perlu membayar saman yang mencecah lebih RM300 itu. 

Menjengah ke ruangan komen, segelintir orang awam yang mengikuti kisah pengklonan kenderaan itu turut berkongsi pengalaman mereka dan memberi nasihat kepada pemilik Afiqah.

Seorang pengguna Facebook, Muhammad Taufiyqul, menasihatkan Afiqah untuk membuat laporan polis di kawasan kenderaan klon itu berada, kerana polis trafik sering mengadakan rondaan dan sekatan jalan raya rutin. 

"Apabila kereta itu dapat dikesan, saman boleh dibatalkan. Namun, jika isu ini tersebar secara meluas, pemilik klon mungkin menukar nombor plat dan kenderaan sukar dikesan," katanya. 

Seorang lag warga maya, MaZaya IsHak pula berkongsi pengalaman peribadi, menyifatkan situasi serupa pernah menimpa suaminya. 

Pada masa saman dikeluarkan, kereta berada di lokasi selamat, tetapi dia tetap terpaksa membayar saman had laju berjumlah RM300.

Seorang lagi pengguna, Ruzita Shahir, mendedahkan pengalamannya lebih serius apabila kereta suaminya juga diklon sehingga menerima saman di Machang, Kelantan. 

"Kereta suami saya juga diklon.Pelik kerana kereta tidak pernah digunakan sehingga ke Kelantan, banyak disimpan dalam garaj.

"Beberapa minggu kemudian, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) datang mencari pemilik kerana kereta disita, tetapi pemandu melarikan diri atas kes penyeludupan dadah dan warga asing.

"Walaupun pihak APMM ajak buat laporan polis dan minta JPJ gugurkan saman, JPJ berkata, tiada tindakan boleh diambil. Saman tetap perlu dibayar. Sebagai rakyat, kami terasa ditindas dan diperlaku tidak adil oleh sistem penguatkuasaan negara sendiri," katanya. 

Kes pengklonan kenderaan seperti itu menunjukkan betapa pentingnya pemilik sentiasa memantau dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak masalah saman dan kompaun tidak wajar. 

Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kenderaan klon diminta segera menghubungi pihak berkuasa atau pemilik bagi memudahkan tindakan lanjut.

Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan yang dikelurkan oleh pihak berkuasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram