SUDAH lumrah hidup berumah tangga suami isteri saling membantu antara satu sama lain, tidak kira dalam perkara besar mahupun kecil sehingga menerima ganjaran yang tak disangka.
Itulah yang dibuktikan oleh Najmi Farisham, apabila kisahnya membantu isteri yang mengalami pedih ulu hati tular di media sosial selepas menerima rezeki tidak disangka ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.
Menerusi perkongsian di Threads miliknya pada Rabu, Najmi menceritakan bagaimana isterinya meminta tolong dibelikan ubat G******n bagi meredakan pedih ulu hati yang dialaminya.
Namun, si isteri sempat berpesan supaya membeli yang paling murah kerana ubat berkenaan agak mahal.
"Bini pedih ulu hati malam ini, dia minta belikan ubat tapi siap pesan, beli paling murah. Aku terus ke kedai serbaneka berdekatan dan belikan ubat yang berharga RM21.90.
"Nak balik itu, ada sebuah kereta panggil aku. Minta tunjukkan jalan dalam sebab depan sana ada sekatan jalan raya.
"Aku pun tunjukkan jalan keluar sebelum dia panggil aku sambil menghulurkan duit," katanya.
Tidak menyangka, bantuan kecil itu akhirnya ‘dibayar’ dengan rezeki yang tidak disangka apabila lelaki tersebut menghulurkan RM20 kepadanya.
Najmi berseloroh, jumlah itu hampir sama dengan harga ubat yang dibelinya untuk isterinya.
"Dia kata, ambil dan aku pun ambil. Nohh, RM20. Banyak!
"Balik 'modal' beli ubat untuk bini. Betul orang kata, jaga bini murah rezeki," tulisnya lagi.
Kisah ringkas itu meninggalkan mesej mendalam tentang keberkatan dalam rumah tangga kerana setiap kebaikan yang dilakukan dengan ikhlas, terutama dalam memenuhi tanggungjawab terhadap pasangan, pasti ada ganjarannya.
Cuma pada masa sama, ada juga netizen yang mempersoalkan insiden itu, lagi-lagi 'upah' diterima Najmi daripada pemandu kereta terbabit semata-mata bagi mengelak sekatan jalan raya polis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
