BERITA mengejut dihadapi pempengaruh media sosial, Nanad Bebe apabila beberapa barangan berharga miliknya, termasuk dua buah motosikal dan topi keledar dipercayai hilang dalam kes pecah rumah di Sungai Long, Kajang, Selangor pada Ahad.
Perkara tersebut dikongsikan wanita tersebut yang juga merupakan usahawan dengan menyatakan sebuah motosikal Yamaha RXZ biru dan Yamaha 135LC hilang dalam jenayah berkenaan.
Selain itu, topi keledar berjenama seperti Arai Stella berwarna merah hitam turut dilarikan pencuri dengan terdapat kemungkinan kesemua barangan tersebut akan dijual dengan harga jauh lebih rendah.
BACA LAGI: [VIDEO] Letupan kuat di Buenos Aires, wanita hamil keracunan gas toksik antara 20 cedera parah
BACA LAGI: Tahan pintu guna badan, aksi berani ibu 2 anak berjaya halang perompak pecah masuk rumah
"Rumah Nanad kena pecah, motosikal, helmet empat biji dan barang kemas semua hilang. Memang tak guna mereka yang 'merah mata' ni. Orang dekat-dekat juga buat kerja.
"Kau tunggu sekejap muka kau semua dah ada. Baik kau pulang balik sebelum kami sendiri cari kau ya," katanya menerusi hantaran di laman Instastory.
Hantaran lain turut memaparkan kediamannya sudah didatangi pihak polis selain rakan-rakan pengguna media sosial turut berkongsi semula gambar barangan berkenaan bagi membantu usaha pencarian.
Tambah Nanad, dia berharap sesiapa yang mungkin tanpa sengaja telah membeli barang tersebut juga dapat menghubunginya untuk membantu siasatan dan urusan seterusnya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof mengesahkan insiden berkenaan dan memaklumkan bahawa pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada pukul 9.03 pagi Ahad.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati rumah terbabit dipecah masuk ketika penghuni tiada di rumah.
"Pengadu yang juga seorang penjawat awam lelaki berusia 32 tahun, memaklumkan sejumlah barangan berharga termasuk barang kemas milik isterinya serta empat topi keledar jenama Shoei dan Arai telah hilang dalam insiden itu.
"Keseluruhan kerugian dianggarkan hampir RM360,000," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Naazron berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan serta Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan polis sedang mengesan suspek kes itu.
Beliau sekali gus meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Sharulhasram Ramli, melalui talian 017-2530380 untuk membantu siasatan polis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
