MOMEN mengharukan terpancar dalam satu video tular memaparkan tindakan seorang graduan doktor falsafah (PhD) yang singgah ke pusat dialisis demi berkongsi detik kejayaannya bersama insan tersayang.
Wanita berkenaan, Wan Shariza Wan Zainal Abidin iaitu seorang graduan Bimbingan dan Kaunseling dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima Ijazah Doktor Falsafah sempena Istiadat Konvokesyen UPSI ke-27 yang berlangsung dari 11 hingga 18 November 2025.
Beliau yang juga merupakan seorang kaunselor kesihatan mental mencuri perhatian ramai selepas tindakan menyentuh hatinya dikongsikan di platform Threads pada Ahad.
BACA LAGI: Graduan dari keluarga susah lega, bantuan one-off RM1,000 bantu langkah pertama cari rezeki jauh
BACA LAGI: UiTM sasar 10 peratus graduan jadi usahawan, anjur AYEF 2025 demi perkukuh jaringan serantau
Menurut Wan Shariza, bapanya tidak berkesempatan hadir pada majlis konvokesyennya pada Selasa lalu disebabkan keadaan kesihatan yang memerlukan rawatan dialisis berjadual.
Tidak mahu momen bermakna itu berlalu tanpa kehadiran insan yang banyak berkorban untuknya, beliau membuat keputusan untuk membawa sendiri skrol ke pusat dialisis sebaik selesai istiadat.
Video berdurasi pendek itu memaparkan Wan Shariza yang masih menyarung jubah konvokesyen menghampiri bapanya di kerusi rawatan sambil menghulurkan skrol yang baru diterimanya.
Reaksi bapanya yang tersenyum bangga ketika dalam proses menerima rawatan bangga turut mengundang rasa sayu dalam kalangan penonton, sekali gus menjadikan rakaman itu tular di media sosial.
"Abah tak dapat datang masa saya konvo tempoh hari, maka saya datang ke tempat dialisis abah untuk beri hadiah ini kepadanya. Abah, terima kasih untuk segalanya. Kami sayang abah," tulisnya menerusi akaun Threads.
Perkongsian itu menerima maklum balas positif daripada warganet yang rata-ratanya terharu serta memuji sikap Wan Shariza yang menghargai pengorbanan orang tuanya.
Tindakan Wan Shariza boleh menjadi contoh kepada generasi muda tentang pentingnya menghargai dan meraikan ibu bapa yang selama ini menjadi tulang belakang serta pendoa utama dalam setiap kejayaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
