Pesakit buah pinggang kronik nekad genggam PhD, hajat Dr Noraida terlaksana lepas 12 tahun


  • Maya
  • Ahad, 16 Nov 2025

Noraida dan anak perempuannya, Nur Alisha Ahmad Fauzi.

KISAH ketabahan dan semangat juang yang tinggi, begitulah dapat digambarkan mengenai seorang graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ini yang berjaya menggenggam Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang Sains Kesihatan, meskipun berdepan pelbagai cabaran termasuk kegagalan buah pinggang yang kritikal.

Dr Noraida Abd Manaf, 43, membuktikan bahawa penyakit kronik bukanlah penghalang untuk mencapai cita-cita.

Bekas pensyarah ini memulakan perjalanan PhD pada 2013, namun takdir seolah-olah menguji apabila hanya beberapa bulan selepas itu, beliau disahkan menghidap kegagalan buah pinggang akut.

BACA LAGI: Kian popular dijual sebagai gummy kecantikan, KKM arah henti jualan ASGG Gluta Genc Glow Gummies

BACA LAGI: Sebulan pemergian Shing Xuen, ibu mangsa tikam ingatkan keluarga pikul tanggungjawab bentuk peribadi anak

"Saya pernah mengajar di sebuah universiti swasta di Selangor. Pada 2013, saya berpindah ke Johor dan menjadi pembantu penyelidik di UTM.

"Ketika itu, saya nekad untuk sambung PhD dan berazam mahu menggenggam ijazah kedoktoran sebelum umur mencecah 40 tahun,” katanya

Impian awal itu bagaimanapun diuji hebat.

Menurut Noraida, keadaannya semakin merosot dan pada 2014, beliau disahkan menghidap kegagalan ginjal peringkat akhir (ESRF).

"Hancur hati saya, sangat kecewa dan sedih. Tapi saya tekad tidak mahu berputus asa. Anak perempuan saya yang ketika itu baru berusia enam tahun, menjadi inspirasi paling besar dan paling penting yang terus menguatkan semangat saya,” ujar ibu tunggal yang bercerai pada 2018 ini.

Beliau turut menzahirkan rasa terima kasih atas sokongan padu daripada penyelia serta ibunya yang sentiasa berada di sisi sepanjang tempoh pengajian.

Harapan sempat menyinar pada 2019 apabila abangnya sudi mendermakan salah satu buah pinggangnya setelah disahkan sepadan.

"Bagaimanapun, kelegaan itu tidak kekal lama apabila timbul kekecewaan baharu. Tidak lama selepas pemindahan, badan saya menolak organ baharu yang didermakan itu,” kongsinya.

Walaupun terpaksa berulang-alik ke hospital dan menjalani kitaran dialisis yang memenatkan, Noraida enggan melepaskan cita-citanya.

Beliau mencari jalan untuk mengejar pengajian di antara sela masa rawatan.

“Saya percaya Tuhan tidak akan menguji kita dengan ujian yang tidak mampu kita tanggung (lalui). Pegangan ini yang saya yakini dan bantu saya menghadapi segala cabaran,” tegasnya penuh semangat.

Perjalanan PhD yang mengambil masa selama 12 tahun akhirnya membuahkan hasil apabila Noraida menerima skrol kedoktorannya dalam bidang Sains Kesihatan.

Beliau merupakan antara 7,156 graduan, termasuk 732 penerima PhD, yang diraikan pada majlis konvokesyen enam hari UTM yang bermula kelmarin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram