BEREGU wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah mencipta sejarah tersendiri apabila muncul wakil pertama Malaysia menjuarai Masters Kumamoto di Jepun selain merekodkan gelaran ketiga dalam siri Jelajah Dunia BWF pada Ahad.
Pasangan nombor dua dunia itu mempamerkan kebangkitan luar biasa dalam kedua-dua set untuk menundukkan gandingan tuan rumah, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi, 22-20, 21-19 pada aksi final di Gimnasium Wilayah Kumamoto.
Kejayaan itu turut mengulangi skrip kemenangan mereka di pentas final Terbuka Artik di Finland, bulan lalu sekali gus melebarkan rekod cemerlang ke atas pasangan Jepun berkenaan.
BACA LAGI: Cepatlah ikut jejak Luqie, 3 striker muda perlu segera ‘curi' hati Cklamovski
Naib juara dunia itu bermula perlahan apabila ketinggalan 0-7 dan 5-11, malah hampir kehilangan set pertama selepas tertinggal 15-20.
Namun, semangat juang tinggi membolehkan mereka mengutip tujuh mata berturut-turut untuk menamatkan set tersebut dengan kemenangan 22-20.
Set kedua pula menyaksikan Iwanaga–Nakanishi sekali lagi memulakan permainan dengan tempo tinggi, mendahului 8-3 dan 11-9 sebelum rehat.
Bagaimanapun, Pearly–Thinaah kekal berdisiplin dan berjaya menyamakan kedudukan 14-14 sebelum menutup perlawanan dengan kemenangan 21-19 dalam masa 54 minit.
Pearly-Thinaah kini bergelar juara Malaysia pertama dalam kejohanan yang mula diperkenalkan pada 2023, mengatasi pencapaian terbaik negara sebelum ini menerusi perseorangan lelaki, Leong Jun Hao yang muncul naib juara tahun lalu.
Kejayaan di Kumamoto menjadi gelaran ketiga mereka dalam Jelajah Dunia BWF setelah menjuarai Terbuka Thailand dan Terbuka Artik.
Selaku juara, Pearly-Thinaah membawa pulang hadiah wang tunai AS$37,525 (RM155,071), manakala Iwanaga-Nakanishi meraih AS$18,050 (RM74,591) sebagai naib juara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
